|
KOTA TINGGI 4 Jun - Selepas meninggalkan alam persekolahan kira-kira 28 tahun lalu, lebih 58 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar (SMKTSJA) Tanjung Sedili dekat sini, mengadakan majlis perjumpaan semula di sini, baru-baru ini.
Kesemua mereka yang memulakan pengajian dari tingkatan satu pada 1979 hingga tamat tingkatan lima pada 1983, kini berusia 45 tahun dan berhimpun semula dengan membawa ahli keluarga masing-masing.
Seorang ahli jawatankuasa penganjur, Salmah Mohd. Salleh berkata, tujuan utama program itu diadakan ialah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar bersempena cuti sekolah apabila kebanyakan mereka pulang bercuti di kampung halaman.
"Selain itu, majlis ini diadakan sebagai menghargai jasa dan bakti guru-guru yang telah mendidik kami menjadi insan yang berjaya," katanya yang merupakan ibu kepada lima anak dan menetap di Bandar Baru Uda, Johor Bahru ketika ditemui pada majlis tersebut.
Turut hadir adalah bekas guru yang kini memegang jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Md. Buang Saibani dan juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Mesran Tukiman yang juga bekas pelajar SMKTSJA.
Bagi Abu Bakar Ismail pula, dia tidak menyangka dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sekelas dan juga para guru yang pernah mengajar mereka dahulu.
Katanya, pertemuan yang diilhamkan kira-kira dua bulan lalu itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama rakan-rakan yang bertungkus-lumus mencari bekas pelajar termasuk melalui laman sosial Facebook.
"Berikutan kejayaan mengumpulkan rakan-rakan lama, kami bercadang mengadakan pertemuan yang lebih besar pada masa akan datang," katanya lagi.