nufnang

Thursday, August 20, 2009

RENUNGAN BERSAMA..

TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

BEBERAPA ASPEK DARI PEMIKIRAN HAMKA TENTANG

PENDIDIKAN

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Haji ‘Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) (lahir 1908) -Allahu yarhamuh- adalah seorang daripada para ulama dan pemikir Islam agung di Dunia Melayu Sunni ini. Pemikiran dan ajarannya yang menyentuh pendidikan Islam antaranya boleh diperhatikan daripada hasil karya prosanya seperti “Tasauf Moden”, “Pelajaran Agama Islam”, “Falsafah Hidup”, apa lagi tafsirnya “Tafsir al-Azhar”, juga “Sejarah Umat Islam” dan beberapa karangannya lagi yang penting, termasuk “Tasauf Dari Abad ke Abad”. “Tasir al-Azhar merupakan tafsir Qur’an terbesar dalam Bahasa Melayu yang bukan bersifat terjemahan.

Untuk kertas ini, oleh kerana keterbatasan masa, maka dimanafaatkan antaranya “Tasauf Moden”, “Pelajaran Agama Islam” dan “Falsafah Hidup”, juga bahagian-bahagian yang berkaitan dari “Tafsir Al-Azhar”.

Maka dalam nota ini, insya Allah, akan diberikan perhatian kepada beberapa aspek yang menyentuh pendidikan dalam karya Buya Hamka seperti huraian psikologi rohaniah yang merupakan perkara dasar dalam pembentukan peribadi manusia, kebahagian manusia yang terletak pada pengembangan aspek-aspek itu sewajarnya, panduan ajaran Nabi selain daripada Quran dalam hal yang berkenaan, unsur-unsur yang perlu dibentuk dalam diri manusia, kepentingan membangun akal, darjah-darjah akal manusia, hubungan akal dengan ilmu, kedudukan pengalaman, kedudukan iradah dan kepentingannya, kategori-kategori nikmat Ilahi yang mesti dimenafaatkan dan disyukuri, kedudukan pengelaman hidup dalam pendidikan, kepentingan pendidikan rohani dan akhlak, pendidikan akidah, ciri-ciri peribadi yang unggul, dan pendidikan kanak-kanak dan muda mudi. Juga kategori sifat-sifat unggul manusiawi.

Aspek-aspek pendidikan dalam karya Hamka:

Dalam berbicara berkenaan dengan hasil dari matlamat pendidikan, iaitu kebahagiaan dalam bukunya “Tasauf Moden” (terbitan Darul Nu’man, Kuala Lumpur, 1998) (hlm 14 dst) beliau menyebut dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali rd, iaitu:

Bahagia dan kelazatan sejati ialah bilamana (seseorang itu) dapat mengingati Allah”. Seterusnya “Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah kita rasai ni’mat kesenangan dan kelazatan, dan kelazatan itu ialah menurut tabiat kejadian masing-masing, maka kelazatan mata ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula dengan anggota yang lain di tubuh manusia.Adapun kelazatan hati ialah teguh makrifat (iaitu mengenal-p) kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingati Tuhan. Tiap-tiap barang yang dahulunya tiada dikenal oleh manusia, bukan buatan gembiranya jika telah dikenalnya.Tak ubahnya dengan orang yang baru pandai bermain catur, dia tidak berhenti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan buah dan papan caturnya.Demikian pula hati yang dahulunya belum ada makrifatnya, kepada Tuhan, kemudian mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembira dan tidak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu, kerana kelazatan mata memandang yang indah tadi. Tiap bertambah besar makrifat, bertambah besar pula kelazatan.

Seorang hamba rakyat akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan wazir, kegembiraan itu naik berlipat ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan raja. Tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih daripada apa yang dapat diperkirakan oleh manusia, sebab tidak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah. Bukankah segala kemuliaan alam itu hanya sebahagian dari anugerah Allah?Bukankah segala macam keganjilan dalam alam itu hanya sebahagian yang sangat kecil dari keganjilan Maha Kuasa Allah?

Oleh sebab itu tidaklah ada satu makrifat yang lebih lazat daripada makrifatullah. Tidak ada pula swuatu pandangan yang lebih indah daripada pandangan Allah. Sebab segala kelazatan dan kegembiraan , kesenangan dan sukacita yang ada di atas dunia ini , semuanya hanya bertakluk kepada sebab pertimbangan nafsu, dan semuanya akan berhenti perjalanannya apabila telah sampai ke batas, iaitu kematian. Tetapi kelazatan makrifatullah bukan bertakluk dengan nafsu, dia bertakluk dengan hati. Maka perasaan hati tidak berhenti sehingga mati.hati nurani ini tidak rosak lantaran perpindahan hidup dari fana kepada baka. Bahkan bila tubuh kasar ini mati, bertambah bersihlah makrifat itu, kerana tidak ada pengganggunya lagi, sebab kekuasaan iblis, hawa dan nafsu tidak sampai ke sana. Hati nurani ini telah keluar dari alam yang sempit, masuk ke daerah alam yang luas, keluar dari gelap gelita menuju terang benderang”.

Tiga Kekuatan Dalam Diri Insan

Beliau menyebutkan pula dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali berkenaan dengan psikologi rohaniah bila beliau menyatakan bahawa kesempurnaan kebahagiaan manusia itu bergantung kepada tiga kekuatan dalam dirinya, iaitu:

a. kekuatan marah

b. kekuatan syahwat

c. kekuatan ilmu.

Maka manusia perlu menjalani hidup mengikut jalan tengah dalam hubungan dengan kekuatan-kekuatan atau keinginan-keinginan itu.Jangan berlebihan menurut kekiuatan marah, kalau tidak sifat itu akan memperbudakkan orang yang berkenaanb dan membawanya kepada kebinasaan.Jangan pula berlebihan menurut kekuatan syahwat, yang menjadikan seseorang itu ahmak atau bebal yang membawa kepada kerosakan.Maka jika kekuatan syahwat dan marah itu ditimbang baik-baik dan diletakkan ditengah-tengahnya, luruslah perjalanan hidup seseorang itu menuju Pertunjuk Tuhan.Demikian pula dengan kekuatan mareah, kalau ianya berlebihan itu membawa kepada berlakunya perbuatan memukul dan membunuh.Tetapi kalau kurang daripada yang sewajarnya , hilanglah diri dari rasa cemburu dan keghairahan yang sepatutnya, dan hilanglah rasa tanggungjawab atas agama dan keperluan hidup di dunia.Tetapi kalau marah diletak ditengah-tengahnya, timbullah kesabaran dan keberanian dalam perkara yang memerlukan keberanian, dan segala pekerjaan dapat dilakukan menurut nikmat Tuhan.

Demikian pula dengan keinginan syahwat; kalau ianya berlebihan maka terjadilah perbuatan fasik (iaitu perbuatan melanggfar perintah Tuhan), dan onar atau huruhara.Kalau syahwat itu terlalu berkurangan, terjadilah kelemahan hati dan timbullah sifat malas dalam hidup.Kalau syahwat berjalan ditengah-tengah, timbullah pada diri orang itu sifat ‘iffah ertinya memerintah diri sendiri, dan Qana’ah, ertinya sikap merasai cukup dengan apa yang ada serta berada dalam usaha.

Beliau menukilkan lagi pendapat Imam al-Ghazali rd - yang mempengaruhinya, iaitu kenyataan nya yang bermaksud:

Di dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan, sifat keganasan, dan sifat malaikat.Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu, rohmu.Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian yang asli dari jiwamu, dia hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang setuju dengan sifat-sifat tadi, untuk pencapai bahagia.

Kebahagiaan sifat binatang ialah makan, minum, tidur dan sebagainya. Kalau dimasuki oleh kebinatangan itu lebih daripada ukuran yang mesti, tentu engkau hanya bersungguh-sungguh memikirkan makan dan minum sahaja.

Kesenangan dan kebahagiaan sifat ganas ialah memukul dan merusak.Kesenangan dan kebahagiaan Syaitan ialah memperdayakan kamu dan menjerumuskan serta menghela.Kalau sifat syaitan itu ada pada engkau, engkau akan memperdayakan orang , menjerumuskan orang kepada kesesatan, menghelah-helah,memutar-mutar duduk perkara, sebab dengan demikianlah tercapai kebahagiaan dan kesenangan syaitan.

Adapun kesenangan dan kebahagiaan sifat malaikat ialah menyaksikan Keindahan hadrat Rububiah, keindahan Hikmat Ilahiah.Marah dan syahwat tidak terpengaruh (atau “berpengaruh”-p) atas orang yang bersifat begini. Kalau engkau mempunyai sifat dari jauhar malaikat ini hendaklah engkau berswungguh-sungguh menyelidiki asal kejadianmu, sehingga akhirnya engkau tahu, jalan manakah yang harus ditempuh untuk mencari Hadrat Rububiah itu, sampai akhirnya engkau beroleh bahagia yang mulia dan tinggi, iaitu syahadah, menyaksikan keindahan dan ketinggian Maha Tuhan, terlepas dirimu dari ikatan syahwat dan marah.Di sanalah engkau akan mengetahui bahawa syahwat dan kemarahan itu dijadikan Allah atas dirimu, bukan supaya engkau terperosok dan tertawan, tetapi supaya engkau dapat menawannya.dapatlah keduanya enkau pergunakan jadi perkakas untuk mencapai maksudmu menuju jalan makrifat tadi, yang satu engkau jadikan kenderaan yang lain engkau jadikan senjata, sehingga mudahlah engkau mencdapai keberuntungan, bahagia dan kesenangan.

Kalau engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup, iaitu salah satu dari syahwat dan marah, hendaklah engkau lawan sepenuh tenaga .Jika dia kalah, sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati itu tidak akan sentosa kalau keduanya tidak ada lagi. Kalau engkau jalankan resep demikian, tentu (engkau) akan memperoleh bahagia.Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang semestinya.Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau engkau langgar pertaruh itu, tentu engkau celaka, engkau dapat seksa yang bukan seperti(nya), yang membuat engkau menyesal.” (hlm.17-18).

Kemudian beliau menyatakan persetujuannya dengan ajaran Imam utama ini dengan mengatakan bahawa kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi nafsu daripada keinginan-keinginannya yang tidak baik, dan menahan kehendaknya yang berlebihan.Beliau menyatakan itulah perang besar, lebih daripada penaklukan negeri.Kemudian belia menyebut hadith nabi saw tentang “jihad akbar” selepas kembali daripada “perang kecil”. Beliau menyatakan:

Maka kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala kemenangan.Kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga yang mencari nama dan kemegahan.Pada lahir ternama, pada batin amalnya belum tentu diterima Tuhan.Sedang orang yang berperang dengan nafsu itu kerapkali tidak dilihat manusia kemenangan itu lahirnya, tetapi tertulis dengan jelas di Sisi Tuhan. (hlm.18).

Ini disusuli dengan kutipan-kutipan para cendekiawan dahulu dan zaman moden berkenaan dengan masalah kebahagiaan dan hakikatnya serta jalan-jalan mencapainya.

Akhirnya selepas menyebut huraian-huraian para cendekiawan dan hukama Barat dan Timur, beliau kembali kepada Nabi Muhammad saw dan menukil hadith-hadith berkenaan dengan masalah itu. Ertinya dalam masalah pendidikan peribadi manusia beliau mendapat panduan daripada Nabi saw. Selepas daripada Quran; kemudian beliau berpandu kepada sumber-sumber lainnya.

Kebahagiaan Dalam Hadith Nabi saw

Tentang kelebihan manusia - yang menjamin kebahagiaannya- beliau menukil hadith nabi saw dari Aisyah rd.Suatu masa Aisyah bertanya kepada Nabi saw:

Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya? Raqsulullah saw menjawab: Dengan akal! Kata Aisyah pula: Dan di akhirat? Dengan akal juga, kata baginda. Bukankah seorang mansia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala lantaran amal ibadatnya?Kata Aisyah pula. Hai Aisyah, bukanlah amal ibadat yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.

Beliau menukilkan lagi hadith nabi saw berkenaan dengan akal itu. Iaitu:

Rasulullah bersabda: Allah telah membahagikan akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal. Orang bertanya: Ya Rasulullah, manakah bagian yang yang tiga macam itu? Baginda menjawab: Pertama bai makrifatnya dengan Allah, kedua baik taatnya bagi Allah, ketiga, baik pula sabarnya atas (dalam teks “atau”) ketentuan Allah.

Beliau membuat penerangan berikut, iaitu dari sabda Nabi itu beliau mengatakan bahawa kita boleh mengambil kesimpulan bahawa darjah manusia itu menurut darjah akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, mengagih-agihkan segala pekerjaan, menyelidiki akikat kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini.Bila akal bertambah sempurna, indah dan murni, bertambah pula darjah bahagia yang dicapai, sebab itulah maka menurut hadith nabi bila tercapai kesempurnaan akal maka tercapailah kesempurnaan kebahagiaan.

Akal Dan Pengetahuan

Selepas menyebut hal manusia dan tingkat mereka dalam hidup mengikut akalnya, beliau menyebut manusia dengan akal dan pengetahuan serta pendidikannya: Katanya:

Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup maniusia itu timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak.Jika akal itu telah tinggi keranba tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketingian pengelaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya.Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja, yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya.Maka kepandaian manyusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya.

Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka.

Oleh agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir.Puncakya yang penghabisan ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya, dan sabar atas musibahNya.Tidak ada lagi hidup di atas itu!

Di sinilah timbul kehairanan kita melihat orang yang setiap hari menyisir tetapi tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya (membesarkan pangkat kemegahannya-p), tetapi tidak membusungkan hatinya. (tidak memperkasakan sifat-sifat kegemilangan hati manusia-p). Digosoknya sepatunya tetapi tidak digosoknya akalnya sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya mendengar dari orang ke orang, dari mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang bahagia, tetapi dia jauh dari bahagia.Ada lurah yang dalam membatas mereka, padahal mereka duduk berdekatan.

Kita hairan melihat manusia, yang takut rugi dengan hartanya, tetapi mudah beroleh kerugian, yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya.Ia ubati dengan segala cara anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan: tetapi tidak dicarikannya ubat jika anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal.

Peribadi Manusia Dan Alam Sekitar serta Kehidupan

Tentang peribadi manusia dan hubungannya dengan alam sekitar dan kehidupan lahiriah sahaja, tanpa dimensi lainnya,yang lebih tinggi, sebagaimana yang kerap dibicarakan zaman globalisasi ini beliau menyatakan:

Sebab itu tidaklah sekali-kali bernama bahagia dan nikmat jika hati dan khayal kita hanya kita perhubungkan dengan isi alam yang lahir ini (sahaja), yang harganya hanya menurut keinginan kita. Jangan terlalu diperintah oleh khayal, oleh angan-angan, oleh fantasi, kerana itu jugalah yang memalingkan kita dari bahagia yang sebenarnya tujuan hidup, yang mulanya tangis akhirnya tertawa, dan mulanya pahit akhirnya manis.

Dalam berbicara tentang akal dan kedudukannya yang memerlukan bantuan iradah insan untuk menjamin kejayaannya beliau menyatakan:

Tetapi dengan semata-mata akal saja belum pula cukup (bagi seseorang itu-p) untuk mencapai bahagia, kerana akal berhenti perjalanannya sehingga itu. Adapun yang menjadi perantaraan antara akal dengan bahagia ialah iradah, kemahuan! Walaupun aal sudah lanjut dan tinggi, kalau tidak ada iradah untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak akan tercapai. Iradah adalah kekuatan nafsiah kita, pada kedirian kita, yang tidak dapat berpisah dari hajat hidup.Kalau hajat itu kuat, timbullah irafah, sehingga dapatlah dia menaklukkan segala pengaruh yang mendatang dari luar dan bekas-bekas asing, kalau kehidupan lemah, iradah itupun jatuh.Kalau iradah jatuh terpengaruhlah diri oleh keadaan sekeliling kita, dan sukarlah mencapai bahagia. (hlm.29).

Kepentingan Pembentukan Iradah Yang Kuat

Dalam hubungan dengan kepentingan iradah dalam membina kebahagian manusia berserta dengan akalnya beliau terus membuat kenyataan:

Ilmu kedoktoran moden telah memasukkan juga ilmu jiwa ke dalam ilmu kedoktoran. Mereka sudah mendapat kepastian bahawa iradah atau kemahuan itu amat besar pengaruhnya bagi jasmani dan rohani manusia. Ramai orang yang baru demam sedikit sahaja, kerana lemah iradahnya, demamnya bertambah larut. Segala macam penyakit mendekat pada dirinya. Ada orang yang baru sembuh dari penyakit yang menimpanya kerana iradahnya kuat.

Dalam berbicara tentang waham dan iradah pada diri manusia beliau meneruskan kenyataannya:

Kalau waham itu berbekas pada akal, menjalarlah dia kepada seluruh perjalanan fikiran, angan-angan dan kehendak. Ternyata tandanya pada (tubuh kasar, jelas terbayang pada muka. Dia menjadi pucat, ragu-ragu, syak wasangka, tidak percaya pada diri sendiri. kalau dia gembira lupa akan dirinya. Pucat dan putus harapan jika kecewa. Jantungpun demikian pula, denyutnya berkurang, perjalanan arahnya melemah …. Maka iradah adalah lebih mahal dari emas, kerana dengan iradah orang bercita-cita yang tinggi. Cuma sayang, kelakuan manusia ini, lebih takluk kepada kehendak jasmani yang akan hancur dalam liang lahat dan tidak peduli kepada kehendak rohani yang akan hidup selamanya. Padahal kehidupan yang bererti dalam dunia ini ialah bahagia, Bahagia yang timbul dari akal yang dapat tercapai melalui iradah kemahuan).

Selepas membuat kenyataan tentang pendapat-pendapat Phythagoras, Socrates, dan Aristoteles berkenaan dengan kebahagiaan yang mencakupi sifat-sifat hikmat kebijaksanaan, keberanian, pengawasan diri dan keinginan, serta keadilan dalam pengertian akhlak yang, kemudian pendapat Tolstoy, beliau menyebut penerangan Imam al-Ghazali rd.

Lima Kategori Ni’mat Ilahi

Beliau menukil pendapatnya yang memberi huraian berkenaan dengan nimat Ilahi yang boleh dikategorikan kepada lima kategori.

Pertamanya kebahagiaan akhirat yang sempurna dan tidak berakhir. Ianya tercapai dengan jalan atau tangga yang dikurniakan oleh Tuhan.

Keduanya keutamaan akhlak. Ini terdiri daripada kesempurnaan akal, yang ianya mencapai kesempurnaan melalui ilmu pengetahuan. Juga ianya terdiri daripada sifat menjaga keinginan diri (‘iffah), yang sempurna dengan kewarakan, sifat keberanian yang sempurna dengan jihad, dan akhirnya dengan keadilan dalam akhlak. Dengan yang empat ini sempurna akhlak dan budi, dengan itu terlaksana agama, dan ini membawa kepada bahagian yang ketiga, iaitu keutamaan yang ada pada badan manusia.

Keutamaan tubuh badan tercapai dengan beberapa perkara: seperti kesihatan, kekuatan tenaga, keindahan, dan umur panjang.

Keutamaan ini pula tercapai dengan beberapa keutamaan di luar badan, iaitu: cukup hartabenda, cukup dengan anak isteri dan sanak saudara, dipandang mulia dan dihormati, serta keturunan yang mulia.

Yang kelimanya ialah keutamaan yang timbul dari taufik dan pimpinan Ilahi terdiri daripada: pertunjuk dari Allah, Irsyad pada jalan hidup yang betul, Tasdid atau sokongan Ilahi dalam kehidupan, dan Ta’yid atau bantuan Ilahi.

Selepas itu diberikan oleh huraian tentang keperluan kelima-lima perkara itu serta cara-cara untuk mencapainya berdasarkan Quran, Sunnah dan pemikiran mereka yang utama dalam sejarah. Dengan itu tersusun hurain tentang cara mencapai kebahagiaan berdasarkan aspek-aspek yang demikian itu dengan baik.

Pengalaman Hidup Sebagai Unsur Dalam Pendidikan

Dalam berbicara tentang pengalaman hidup sebagai unsur pendidikan beliau menyatakan dengan terang:

Meskipun kita akui adanya pengelaman, tetapi bukannya itu yang terpenting, pengelaman adalah sebagai langkah pertama. Adapun pelajaran hidup yang kedua ialah memperhatikan alam. Alam adalah laksana sebuah kitab besar yang terhampar di muka kita, di dalamnya tertulis perjuangan hayat yang telah ditempuh lebih dahulu oleh orang lain. Di situ dapat kita tilik bagaimana orang lain telak sukses, telah mujur dan bahagia, dan dapat pula kita melihat mereka jatuh, tersungkur, ada yang tak bangun lagi, ada yang menyesal selama-lamanya. Kita dengar pekik orang yang kesakitan, maka kita tanyakan kepadanya apa sebab dia jatuh, setelah tahu kita lalu lagi di jalan yang penuh dilaluinya. Semuanya itu kita pelajari dengan saksama dari kitab yang terbentang itu. Itulah rahasia perkataan raja dari segala pujangga dunia, Nabi Muhammad saw, mengambil iktibar dari kejadian orang lain itu adalah jalan beroleh bahagia.

Di dalam hidup bermasyarakat adalah beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yanmg berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal (dengan ilmu pengetahuan dan cara berfikir yang wajar yang dipelajari-p) dan yang berhubung dengan kemuliaan budi. Di samping itu pula yang tertentu untuk menjaga kemenangan dan kebahagiaan. Semua pokok undang-undang yang mesti dijalankan itu adalah buah perjalanan hidup manusia sejak dunia terkembang, ditambah, diperbaru, menurut perkembangan zaman dan waktu, dengan pimpinan dari alam ghaib. Kalau segala peraturan itu dijaga, dipelajari dan dijalankan (dalam pendidikan secara formal atau tidak formal-p) hiduplah manusia dalam hikmat Tuhan, dianugerahkanNya, dan barangsiapa yang beroleh hikmat itu, bererti dia telah mendapat perolehan yang amat banyak. (hlm.53-54).

Pendidikan Rohani dan Akhlak Yang Menjayakan Kebahagiaan

Dalam pendidikan tentang diri manusia demi mencari kebahagiaan beliau berbicara tentang banyak masalah, mulai daripada masalah keimanan, sampai kepada kejayaanb dalam ibadat, kejayaan dalam pembentukan peribadi yang mulia dengan sifat-sifat utama seperti keikhlasan, tawakkal, kesungguhan dan kebenaran dalam hidup, kesabaran dan seterusnya serta jalan-jalan praktikal dalam mencapai semuanya. Dia berbicara tentang keperluan manusia menjaga diri supaya sihat, keperluan mendapat kemahiran dalam hidup untuk membina hidup yang bermaruah; beliau berbicara berkenaan dengan kerukunan hidyup dalam masyarakat dan rumahtangga serta ciri-ciri bangsa yang kuat dan bermaruah.

Pendidikan yang dipaparkan adalah jelas dan relevan pada setiap masa, termasuk masa kita sekarang yang banyak terhakis nilai-nilai iman dan akhlak daripadanya.

Pendidikan Akidah Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah berdasarkan Dalil Naqal dan Akal

Dalam memaparkan pendidikan tentang akidah Islam dalam bukunya “Pelajaran Agama Islam” (terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1981) beliau berbicara secara mendetail berkenaan dengan dasar-dasar akidah Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah terdiri daripada bab-bab berkenaan dengan “Manusia dan Agama”, “Dari Sudut Mana Mencari Tuhan”, “Allah”, “Percaya kepada yang ghaib”, “Percaya kepada Kitab-Kitab”, “Percaya kepada rasul-rasul”, “Percaya kepada hari Akhirat”, “Percaya kepada Taqdir-Qadda dan Qadar”, “Iman dan Amal Salih (Aqidah dan Ibadat)”.

Dalam membicarakan itu semua pendiriannya adalah penditrian Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, yang berlainan daripada Mu’tazilah, dan yang lainnya. Dalam pendekatan beliau memberi huraian tentang keTuhanan beliau menggunakan nas-nas Quran dan Hadith dan juga penemuan-penemuan dalam sains moden dan pemikiran falsafah yang sesuai dengan zaman ini.

Sebelum berbicara tentang rukun iman beliau menyebut sedikit sebanyak kepercayaan manusia sebelum Islam dengan pendewaan terhadap tenaga-tenaga alam sebagaimana yang ada dalam kajian tentang sejarah agama-agama (‘history of religions”). Kemudian beliau memberi penerangan tentang perkembangan falsafah Yunani dalam penerokaan tentang hal-hal kepercayaan; dia berbicara juga berkenaan dengan batasan-batasan akal manusia. Lepas itu baharulah beliau berbicara berkenaan dengan keimanan dan agama serta kepercayaan-kepercayaan yang diajarkan olehnya.

Dalam berbicara tentang ajaran agama, beliau merujuk kepada wahyu, pemikiran dan juga fitrah manusia yang dijadikan Tuhan.

Dalam berbicara tentang sifat-sifat Allah beliau mengajar tentang sifat-sifat Wujud, dengan dalil-dalil pemikiran, kemudian dengan dalil ayat-ayat Quran. Dalil-dalil pemikiran itu dinamakannya dalil kejadian, dalil peraturan dan pemeliharaan, dalil gerak. Dibicarakannya Tuhan Yang Aewal, Dia Yang Akhir, Sifat tidak ada yang menyaiNya, Sifat Maha kayaNya (al-Ghani), KeesaanNya, (dalam bahagian ini dibicarakannya kesyirikan, tawassul dan istighathah), Qudrat dan Iradat, dibicarakan pula Hikmat yang merujuk kepada kebijaksanaan Ilahi yang maha tinggi, Sifat Hayat, Ilmu, Sama’ dan Basar, juga sifat Kalam.

Dalam membicarakan akidah-akidah Islam yang lain beliau memberi huraian-huraian dengan berdasarkan kepada pemikiran dan juga nas-nas Quran dan Sunnah, ditambah dengan pemikiran-pemikiran falsafah dan sains. Dengan demikian pendekatannya adalah pendekatan yang sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan sains moden.

Dalam memberi huraian berkenaan dengan akidah Islam itu beliau memberi penekanan kepada keperluan membentuk jiwa dan amalan berdasarkan kepada keyakinan yang dijadikan pegangan. Dengan itu terbentuk jiwa dan peribadi mukmin yang kental yang mampu menghadapi kehidupan dan cabaran-cabarannya tanpa kehilangan jatidiri Muslim dan mukmin sebenarnya.

Ciri-Ciri Unggul Dalam Pendidikan dan Pembentukan Peribadi Manusia

Dalam menghuraikan pendidikan manusia dalam bukunya “Falsafah Hidup” (terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, tahun 1980) beliau berbicara berkenaan dengan beberapa perkara yang menjadi bab-bab buku itu seperti “Hidup” dengan pembicaraan tentang akal, penyusunan kerja, pertimbangan akal, menghaluskan akal, tanda-tanda orang berakal, dan faedah akal.

Beliau berbicara berkenaan dengan ilmu dan akal, tujuan akal, tingkat-tingkat makrifat, akal dan hawa nafsu, kejahilan manusia, dan keutamaan ilmu.

Dalam hubungan dengan budaya berfikir dan membuat renungan tentang alam beliau memberi huraian yang baik dan jelas dalam mempertahankan nilai ini dalam suluhan cahaya Quran sebagaimana yang ada dalam ayat 17-20 dalam Surah al-Ghasyiah dalam “Tafsir al-Azhar”nya, jld 10-hlm 7979 dst.

Dalam ayat-ayat itu dianjurkan dalam bentuk soalan bagaimana manusia tidak melihat bagaimana unta dijadikan, langit ditinggikan, gunung-gunung ditinggiukan, dan bumi dihamparkan sebagaimana dilihat dalam pengelaman biasa semua orang. Beliau menyatakan:

Kalau semuanya sudah dipandang (dengan penuh perhatian dan iktibar-p) dan direnngkannya, niscaya tidak lagi dia (atau seseorang itu-p) menmgingkari kekuasaan Allah untuk membangkitkan kembali manusia pada hari nanti, yang dinamai hari Kiamat.

Orang-orang yang baru mencapai seujung kuku ilmu, dan terlalu banyak ditimbulkan keraguan dan kehilangan iman dalam dadanya kerana pengaruh kaum Qrientalis dan zending dan missi Kristen (serta juga para pemikir pascamodenisme-p) pernah mengambil ayat ini jadi bukti bahawa al-Quran itu diturunkan hanya buat orang Arab, sebab di dalamnya tersebut unta.dan menyangka dengan mengemukakan demikian, mereka telah mengemukakan sesuatu (yang bersifat-p) “ilmiah”.

Dalam menyokong budaya berfikir yang diajarkan Quran beliau menghuraikan dalam “Tafsur al-Azhar”nya -jld2 dalam hubungan dengan ayat 190-191 Surah ali ‘Imran yang bermaksud bahawa dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam adalah beberapa tanda bagi orang-orang yang berakal (ulil-albab), iaitu mereka yang mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi. Mereka berdoa bermaksud wahai Tuhan tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia.

Selain daripada huraian-huraian lain beliau menyebut pandangan Imam Fakhruz-Razi rh dari “at-Tafsir al-Kabir”nya bahawa: yang dimaksudkan dalam kitab yang mulia ini ialah menjemput hati dan roh sesudah banyak menyakan soal-soal makhluk yang dijadikan supaya manusia mulai tenggelam dalam memperhatikan makrifat terhadap Allah, kerana sejak tadinya sudah panjang pembicaraan tentang hukum-hukum dan jawapan terhadap terhadap beberapa keraguan yang dibawa oleh mereka yang tidak mahu beriman, sekarang disebut tentang penerang hati dengan menyebut soal-soal tauhid, kebesaran dan kemuliaan Tuhan, sebab itu maka disebutkan ayat ini.

Komen Hamka rh tentang ayat-ayat ini antaranya ialah seperti berikut:

Orang melihatnya dan mempergunakan fikiran meninjaunya, masing-masing menurut bakat fikirannya. Entah dia seorang ahli ilmu alam, atau ahli ilmu bintang, atau ahli ilmu tumbuh-tumbuhan, atau ahli tentang ilmu pertambangan (berkenaan dengan galian-galian-p), ataupun dia seorang failasuf ataupun penyaer dan seniman. Semuanya akan dipesona oleh susunan tabir alam yang luar biasa. Terasa kecil diri di hadapan kebesaran alam, terasa kecil alam di hadapan kebesaran penciptanya. Akhirnya tak ada erti diri, tak ada erti alam, yang ada hanya Dia, yaitu yang sebenarnya ada. (hlm.1033).

Dalam hubungan budaya fikir yang digandingkan dengan zikir yang diajarkan oleh Quran dalam ayat ini, Pak Hamka menyatakan:

Di sinilah bertemulah dua hal yang tidak terpisahkan, yaitu zikir dan fikir. Difikirlkan semua yang terjadi itu, maka lantaran difikirkan timbullah ingatan sebagai kesimpulan dari berfikir, yaitu bahawa semua itu tidaklah terjadi sendirinya, melainkan ada Tuhan Yang Maha Penciptanya, itulah Allah. Oleh kerana memikirkan yang nyata, teringatlah kepada yang lebih nyata. Semata difikirkan saja kejadian alam ini, yang akan bertemu hanyalah ilmu pengetahuan yang gersang dantandus. Ilmu pengetahuan yang (tidak-p) membawa kepada iman adalah ilmu yang buntu. Dia mesti menimbulkan ingatan, terutama ingatan atas kelemahan dan kekecilan diri di hadapan kebesaran Maha Pencipta.Sebab itulah datang kelanjutan doa tersebab zikir dan fikir….

Dalam hubungan dengan pendidikan seni, seperti seni persajakan, Buya Hamka menerangkan dasarnya dalam suluhan cahaya Quran dalam menafsirkan ayat-ayat 224-227 Surah ash-Syu’ara’ (jld.7) hlm 5158 dst:

…teranglah bahawa di antara penyaer-penyaer itu , baik di zaman Rasul atau di zaman yang selanjutnya banyak juga penyaer timbul dan syi’irnya diisi oleh imannya.

Kita dapat mengingat bahawa Penyaer Rasulullah itu, Hassan bin Thabit, ‘Abdullah bin Rawwahah, dan Ka’ab bin Malik adalah penyaer-penyaer besar yang telah mempergunakan sya’ir-sya’ir mereka dalam mempertahankan Islam.Seketika utusan-utusan dari seluruh Jazirah Arab datrang menghadap Rasulullah s.a.w. di Madinah, sesudah Nabi saw menang dalam diplomasi Hudaibiyah atau sesudah menaklukkan Makkah, ada yang datang lengkap juga dengan penyaer mereka.Kalau ada yang datang dengan gubahan sya’ir, Rasulullah s.a.w. menyuruh menangkis syair mereka itu dengan syair pula.Yang bertindak menangkis dengan syair itu ialah Hassan bin Thabit. Rasulullah pernah mendoakannya:

Ya Tuhan sokonglah dia dengan Ruhul-Qudus…

Pendeknya, bila kita membaca sejarah Nabi , terutama dalam Sirah Ibn Hisyam, kita akan membaca syair-syair yang timbul dari iman dan amal salih, yang timbul daripada rasa ingat kepada Allah yang mendalam.Syair “Burdah” dari al-Busiri, syairsyair Maulana Jalaluddin Rumi, syair Sa’di, dan asy-Syirazi, demikoian juga syair Maulana Muhammad Iqbal “Shikwa” “wa Jawabi Shikwa” Piyam Mashriq”, dan lain-lain semuanya adalah syair iman , amal salih, dan zikir kepada Allah.

Kalau demikian halnya dengan syair, niscaya demikian jugalah halnya dengaqn seni yang lain, kecuali seni yang akan membawa kepada mempersekutukan Allah dengan yang lain, seumpama seni membuat berhala..

Pada akhir tafsiran Surah Syu’ara’ (hlm 5188) beliau membuat kenyataan”

Sesudah peraturan hidup, di antara dorongan dan hambatan, kemajuan ke muka dan usaha menarik ke belakang, cita-cita yang mulia berhadapan dengan mempertahankan yang salah, di dalam jihad yang tidak boleh berhenti, akhir kelaknya orang yang bersalah niscaya akan sedar jua akan kesalahannya, dan akan sedar juga ke jurusan mana perjalanan mereka yang terakhir.Yaitu bahawa Islam pasti menang dan tegak, sebab dia adalahkebenaran, dan yang menghalanmg selama ini , yang tegak di atas dasar kezaliman akan tahu sendiri ke mana akan pergi mereka.yaitu ke dalam tempat keseksaan…

Beliau berbicara seterusnya dalam “Falsafah Hidup” berkenaan dengan undang-undang alam, keutamaan, kedudukan cinta, buah keutamaan budi, keutamaan dan kewajipan, dan perangai yang utama dalam diri manusia.

Beliau berbicara berkenaan dengan adab kesopanan, dengan pecahan-pecahannya seperti adab diri terhadap makhluk, contoh-cpontoh kesopanan dalam islam, persaudaraan, kesopanan terhadap Rasulullah saw, kesopanan kepada Tuhan, dan konsep kemenangan yang sebenarnya dalam hidup.

Beliau berbicara berkenaan dengan hidup sederhana dengan pengertian sebenarnya, dengan pecahan-pecahannya seperti sederhana pada niat dan tujuan, sederhana dalam berfikir, sederhana mengeluarkan perasaan, sederhanapada keperluan hidup, sederhsana pada perasaan sukacita, sederhana dalam hubungan dengan harta benda, sederhana pada mencari nama, sederhana dalam mencari pangkat, dan juga pendidikan kesederhanaan.

Dalam hubungan dengan pendidikan akhlak dalam suluhan cahaya Quran, dalam “tafsir Al-Azhar”nya, (jld 6, hlm 4029 dst) beliau memberi huraian yang terang dan mendetail berkenaan dengan maksud-maksud dalam ayat-ayat 23-39 Surah bani Isra’il) yang menyentuh: akhlak dan adab kesopanan dengan Allah supaya jangan syirik terhadapnya, dan supaya bersyukur kepadanya, menghormati ibu bapa, berendah diri terhadap keduanya, menunaikan hak dan berbuat baik kepada kaum kerabat, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, supaya jangan melakukan pembaziran, juga jangan bersikap bakhil, supaya jangan membunuh tanpa hak, seperti jangan membunuh anak takutkan kemiskinan, jangan manghampiri zina, jangan memakan harta anak yatim secara terlarang, dan supaya menunaikan semua janji. Juga anjuran supaya menggunakan timbangan yang betul dalam perniagaan, dan supaya jangan mengikut sesuatu tanpa ilmu, sebab manusia akan ditanya tentang pendengaran, penglihatan dan hati. Juga dianjurkan supaya manusia tidak berlagak sombong di bumi, dan diakhiri dengan perintah supaya manusia jangan bersikap syirik sebab itu akan memusn ahkan manusia dalam Neraka Jahanam.

Huraian-huraian beliau berdasarkan kefahaman yang dipandu oleh ayat-ayat Quran, Sunnah dan juga pendapat para ulama muktabar, serta juga maklumat-maklumat sejarah zaman dahulu dan zaman moden.

Penonjolan nilai-nilai Quran dalam pendidikan akhlak sebagaimana yang dilakukan oleh beliau ini mendatangkan menafaat untuk masyarakat mendapat bimbingan dalam menghadapi kekalutan nilai-nilai masakini, apa lagi dalam zaman globalisasi yang mengacaukan jatidiri nilai-nilai keagamaan sebagaimana yang ada dalam Quran.

Dalam “Tafsir al-Azhar” juga (jld 7) dalam memberi penerangan tentang ethika peribadi dan kekeluargaan dalam suluhan cahaya wahyu Quran dalam surah Luqman, ayat 12-19) beliau menghuraikan dengan panjang lebar pembelaan terhadap nilai-nilai yang dibentangkan, seperti bermula nilai kehidupan dengan bersyukur kepada Allah, yang mendatangkan kebaikan kepada manusia itu sendiri, larangan melakukan kesyirikan-iaitu menisbahkan kuasa keTuhanan kepada tenaga-tenaga atau makhluk bersekali dengan Allah--, diikuti dengan nilai-nilai berbuat baik kepada ibu bapa dan bersyukur kepada Tuhan, larangan taat kepada ibu kalau mereka mengajak kepada kesyirikan, arahan bersahabat dengan baik dengan mereka dalam dunia, suruhan mengikut jalan mereka yang berpaling kepada Tuhan dengan taubat dan ketaatan, suruhan melaksanakan sembahyang, melakukan amar makruf dan nahi munkar, anjuran bersabar dalam menghadapi kesulitan hidup, larangan daripada bersikap tabur dan sombong, dan suruhan supaya bersikap sederhana dalam gerak geri, serta suruhan melembutkan suara dalam percakapan. Semua huraian-huraian beliau mengukuhkan nilai-nilai rabbani dalam Quran supaya ianya tertegak dalam diri, masyarakat dan keluarga manusia yang beriman.

Pendidikan Anak-Anak

Yang menarik berkenaan dengan kesederhanaan dalam pendidikan ini ialah kata-kata beliau seperti berikut:

Oleh kerana pekerti sederhana itu adalah sebagai hasil daripada akal orang yang bijaksana, maka perhubungannya dengan pendidikan adalah besar sekali, pengaruhnya pun bukan sedikit. Adapun orang yang mendidik anaknya di zaman sekarang terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama anak-anak dididik menurut garis yang dikehendaki oleh ayah bundanya, menurut jalan cita-citanya.Kedua anak-anak dibiarkan sahaja menurut bakatnya sendiri.

Di dalam keadaan yang pertama itu anak-anak tidaklah bebas bergerak menurut kehendak gerak hatinya sendiri. Dia laksana barang, kepunyaan dari orang tuanya.Kalau orang tuanya pendeta, dia mahu supaya anaknya menjadi pendeta pula.Kalau orang tuanya militer, dia mahu supaya anaknya menjadi militer. Atau, meskipun bukan diniatnya supaya anaknya seperti dia, tetapi diminatinya bentuk anak itu menurut bentuk yang ditentukannya. Kesudahannya, mahu bergerak, mahu diam, mahu berjalan, mahu duduk, mahu memilih jodoh, mesti menurut kehendak orang tua itu. Kadang-kadang si ayah bunda ini tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam hidupnya. Waktu itulah yang serba susah bagi nasib anak itu.Dia akan karam di tengah-tengah, sukar akan sampai kepada tujuan hidupnya yang telah ada persediaan padanya tatkala ia dilahirkan.

Pendidikan anak-anak yang semacam inilah yang masih banyak bertemu pada masyarakat kita pada masa ini, sehingga berpuluh, bahkan beratus pemuda pemudi yang tidak tentu sebarang hidupnya. Di kota-kota terdapat berpuluh, bahkan beratus dan meningkat ribu, anak-anak yang diperbuat oleh orang tuanya akan menjadi kerani, padahal bukan semua orang mesti menjadi kerani. Di Minangkabau berpuluh, bahkan beratus, dan meningkat ribu, anak-anak muda yang lepas dari sekolah agama maksud orang tuanya akan dijadikan ulama, seakan-akan cuma menjadi ulama itu sahajalah pekerjaan yang paling bagus di dalam dunia ini.

Kata mereka, begitulah pendidikan yang betul. Padahal itulah satu penyakit yang tidak membiarkan seorang manusia maju menurut wajah yang telah ditentukan Tuhan sejak dia dalam rahim. Mereka hendak perbuat manusia menjadi satu corak sahaja, serupa binatang dan tumbuh-tumbuhan.manusia bukan jenis kuda yang hanya guna dikendarai dan pengangkut barang sahaja. Manusia bukan jenis tumbuh-tumbuhan, yang kalau dia sayur bayam, tetap jadi sayur sahaja. Meraut dan membentuk anak menurut kehendak orang tua sahaja hakikatnya memberi bahaya kepada anak itu, melamakan akan kemajuannya. Ketahuilah bahawa tabiat , hujunh hidup, tujuan dan jalan kehidupan manusia itu berbeda satu sama lain. Hendaklah pendidikan itu berikhtiar melahirkan ke mana tujuan hidup itu, bukan berusaha membenamkan. Suatu pendidikan yang diasaskan kepada paksaan itu, paling banyak menimbulkan jemu di dalam hati, dan menghabiskan umur dengan tak berfaedah.

Pendidikan macam yang kedua, ialah anak-anak dibiarkan sahaja menurut mahunya, tidak dibentuk dan tidak dituntun. Dengan berbuat demikian padahal mencelakakan anak itu sendiri. Meskipun tadi dikatakan bahawa tiap-tiap manusia itu mempunyai wajah hidup sendiri-sendiri, kalau dia masih anak-anak, belumlah tentu ke mana wajah itu, masih sukar ia akan naik. Anak yang demikian dinamai anak manja, kebiasaannya anak-anak tunggal, atau anak yang tinggal seorang kerana mati sanak saudaranya, maka tertumpulah perhatian seisi rumah kepada dirinya seorang. Bangunnya, tidurnya, campurnya dengan anak-anak yang lain, sentiasa dapat pujukan dari isi rumah. Anak yang demikian akhirnya akan menjadi pemalas, kerana apa yang dimintanya dapat sahaja, tidak mahu mencari sendiri. Anak yang demikian akan sombong…

Pendidikan yang tidak berhujung pangkal dan sangat merosak ini kebanyakan bertemu pada orang-orang tua yang tidak memperhatikan zaan yang telah lalu, dan tidakmemikirkan pula zaman yang akan datang…

Dengan ini kita lakukan keritik yang sehat kepada beberapa orang Kara eng di Tanah Mengkasar dan beberapa orang teuku dan Hulubalang di tanah Aceh, dan bangsawan-bangsawan Melayu dei Sumatera Timur dan Malaya (sekarang Malaysia-p) yang memberikan pendidikan yang begitu manja kepada anak-anaknya….Biasanya anak-anak yang begini jika sekiranya esok tiba giliran kepada dirinya memegang negeri, maka negeri akan kacau.Dia akan kasar kepada anak buah, dia tidak akan berusaha merimbun merampakkan perniagaan ayahnya, tetapi memusnahkan, untuk melepaskan napsu mudanya.

Seterusnya beliau mengutarakan pendidikan cara yang berlainan daripada yang dua jenis di atas tadi. Kata beliau:

Bagaimana pendidikan demikian kita akan biarkan sahaja? Tidak berniat hendak berubah? Padahal zaman yang akan datang (sekarang abad ke 21, waktu penulisan beliau tahun 6oan-p) akan mempunyai perjuangan yang lebih hebat dan lebih sengit dari yang sekarang?…yang akan diperampun dan diperpuang orang di zaman yang akan datang, ialah orang-orang yang sanggup menegakkan kemuliaan tanah air dan bangsa.Di mana kita akan dapat orang begitu, kalau tidak dari sekarang kita didik?

…Anak-anak harus dididik dan diasuh menurut kehendak hidup dan zamannya.maksud pendidikan hendaknya ialah membentuk anak itu supaya menjadi anggota yang berfaedah di dalam pergaulan hidup, penuh dirinya dengan rasa kemanusiaan, walaupun apa mata pencariannya, cinta kepada persaudaraan dan kemerdekaan.Pendidikan demokratis!

Kemenangan dan kejayaan hidup yang akan ditempuh oleh seorang anak, sejak dari kecilnya melalui besarnya sampai tuanya, semuanya terkumpul di waktu membentuk dan melatihnya di zaman kecil. Di waktu yang dahulu ditentukan zaman yang akan datang. Zaman yang akan datang (“future”) ialah impian dari tiap-tiap kita, impian dari masyarakat, impian dari suatu bangsa, dan impian alampun. Kepada zaman yang akan datang , kepada “future” , ke sanalah bergantungnya segala angan kita dan cita-cita kita….

Garis besar dari pendidikan yang sejati ialah, supaya anak-anak itu disingkirkan daripada perasaan kekerasan orang yang kuat di hadapan orang yang lemah. Pendidikan sejati ialah menanamkan rasa bahawa diri saya ini ialah anggota masyarakat dan tak dapat melepaskan diri daripada kungkungan masyarakat. Pendidikan yang sejati ialah membentuk anak-anak berkhidmat kepada akalnya dan ilmunya, bukan kepada hawa dan napsunya.

Dengan demikian tegaklah rasa kemerdekaan pada diri suatu umat, suatu bangsa, suatu tanah air.

Dalam hubungan dengan ciri kebebesan berfikir – dalam rangka keimanan, ketaqwaan dan akhlak yang telah dibicarakan oleh beliau --- terdapat kenyataan:

Beri anak itu kebebasan berfikir dan tuntunlah dia di dalam kebebasan itu.jangan diperkosa perjalanan pikirannya, baik oleh gurunya atau oleh ayah bundanya, supaya jangan dia sebagai kayu yang layu pucuknya, kerana tengah hari tepat disiram juga dengan air. Pendidikan yang bersipat pimpinan, yang bersipat membukakan jalan, adalah seumpama udara dan cahaya matahari, biarkan dia kena udara dan kena cahaya matahari, dia akan sanggup hidup sendirinya.

Beberapa Ciri Peribadi Yang Dikehendaki

Ini diikuti dengan pembentukan jiwa merdeka dalam anak-anak dan juga keperluan pendidikan hidup secara sederhana supaya jiwa merdeka itu boleh diteruskan, tidak tercekik kerana hidup mewah yang memenjarakan peribadi.

Kesederhanaan yang beliau anjurkan itu menyentuh semua bidang hidup manusia- sederhana dalam perbelanjaan, makan minum, kediaman dan pakaian, bahkan dalam perkataan dan dalam melaksanakan pekerjaan.

Beliau berbicara tentang sifat berani dengan huaraian-huraian cawangannya seperti keberanian dengan kesopanan, keberanian dengan buah hasilnya, keberanian dan hubungannya dengan mencapai kemerdekaan, kemuliaan, maruah, tinggi cita-cita, serta sifat percaya kepada diri sendiri.

Beliau berbicara tentang keadilan dengan perbincangan lanjutan berkenaan dengan agama dan negara serta hubungan keduanya, kemerdekaan hak milik, agama dan bagaimana menghadapi kesakitan dalam hidup, hikmah kebijaksanaan dan keadilan, keadilan dan mereka yang berotoritas dalam pemerintahan, dan persoalan bagaimana kita boleh terus menghayati kemerdekaan sebenarnya.

Beliau berbicara berkenaan dengan Persahabatan, dan pencerakinan tentangnya yang menyentuh persoalan bagaimana mencari sahabat, dan persahabatan dan hubunmgan dengan para wanita dalam masyarakat dan kehidupan.

Akhirnya dalam buku “Falsafah Hidup” beliau berbicara berkenaan dengan kedudukan agama Islam sebagai pembentuk hidup manusia. Jelas sekali buku ini memberi kandungan dan erti serta nilai bagi pembentukan peribadi manusia dalam pendidikan baik secara formal dan juga bukan formal.

Wallahu a’lam.

Dikemaskini pada : 24-Jan-04 11:26 PM

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.geocities.com/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or traditionalislam.tripod.com

1

Tuesday, August 18, 2009

RENUNGAN BERSAMA...

Tokoh Pemikir Islam



Ayatollah Dr. Seyyed Mohammad Husayn Beheshti (24 Oktober, 1928 – 28 Jun, 1981) merupakan antara ulama’ Iran yang terkemuka, dan pernah menjadi setiausaha agung Parti Republik Islam. Malah, Beheshti turut merupakan ketua yang disegani di badan kehakiman Republik Islam sewaktu awal-awal revolusi.

Beheshti dilahirkan di Lomban, dalam daerah Isfahan dari kalangan keluarga yang mempunyai tradisi agama yang kental. Di sana, Beheshti mendapat pendidikan awal secara tradisional dan mula menonjolkan bakat ilmunya. Ketika pendidikan menengah, iaitu semasa menuntut di Sekolah Sadr, juga di Isfahan, Beheshti semakin menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu teologi.

Pada 1946, sewaktu berumur 18 tahun, Beheshti menuju ke Qom untuk mendalami beberapa ilmu seperti Sath, Kefayeh danMakasib. Dan, dalam waktu yang sama, Allamah Tabatabaei kembali ke Qom dari Najaf al-Asyraf dan memulakan kelas falsafah di sana. Dan, ini menarik minat Beheshti untuk turut sama menyertai kelas Tabatabaei tersebut.

Beheshti kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Tehran dan memperolehi Sarjana Muda pada tahun 1951. Setelah itu beliau kembali ke Qom dan mula mengajar di Sekolah Tinggi Hakim Nezami sebagai guru bahasa Inggeris. Dan, setahun kemudian, Beheshti berkahwin dengan salah seorang kerabat keluarganya, lalu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Pendidikannya berterusan sehinggalah pada tahun 1959, Beheshti berjaya menamatkan ijazah kedoktorannya (Ph.D), juga di Universiti Tehran, dalam bidang falsafah teologi dengan mempertahankan tesisnya The Problems of Mabad ul Tabi’e in Quran di bawah seliaan Professor Murtadha Muthahhari.

Manakala, pada tahun 1963, atas cadangan dari Ayatollah Ha’eri dan Ayatollah Milani, Beheshti dipilih untuk memimpin Pusat Islam di Hamburg, Jerman, di mana organisasi ini bertanggungjawab terhadap aktiviti agama mahasiswa dari Iran yang berada di Jerman dan Eropah Barat. Di samping itu, Pusat Islam Hamburg ini juga merupakan markaz untuk memobilasi gerakan rakyat Iran di Eropah untuk menumbangkan regim Shah.

Dalam tempoh yang sama juga, Beheshti berpeluang untuk menunaikan fardu Haji di Arab Saudi sembari juga berkunjung ke beberapa buat negara seperti Syria, Turki, Lubnan untuk menemui Imam Mousa Sadr dan di Iraq untuk menziarahi Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin gerakan rakyat Iran dalam buangan.

Malah, ketika Hamburg inilah juga Beheshti pernah dibantu oleh Mohammad Khatami, mantan Presiden Iran selama dua penggal (1997-2005) yang akrab dengan gerakan reformis. Bahkan, dari pengalaman bersama inilah Khatami dikatakan banyak terpengaruh dengan corak pemikiran Beheshti.

Semenjak 1960-an lagi, Beheshti telah terlibat dengan serius dalam kegiatan subversif yang memberi ancaman kepada kekuasaan regim Shah. Lantaran aktiviti-aktiviti seperti inilah, Beheshti telah beberapa kali ditahan oleh Agensi Polis Rahsia Iran,Sazman-i Ittila’ a-i Va Amniyat-i Keshvar (SAVAK) atas alasan memberi gugatan terhadap keselamatan negara.

Pasca revolusi, Beheshti merupakan tokoh yang mempunyai peranan yang signifikan. Selain menjadi ahli Majlis Revolusi Islam, yang mana akhirnya majlis ini diketuainya kemudian, Beheshti turut mengetuai badan kehakiman Republik Islam Iran. Bakat perundangan yang dimiliki oleh Beheshti ini dikatakan warisan daripada Haj Mir Mohammad Sadiq Modarres Khatunabadi, datuknya yang pernah menjadi rujukan fatwa dari masyarakat tempatan sebelum itu.

Di awal-awal penubuhan Parlimen Iran ketika pasca-revolusi, Bahehsti dipilih untuk memimpin Parti Republik Islam, sebagai setiausaha agung sambil dibantu oleh Ali Akhbar Hashemi Rafsanjani, Ali Khamenei serta beberapa tokoh yang lain. Malah, Beheshti pernah dicanangkan sebagai tokoh popular untuk menjadi presiden Iran yang pertama selepas revolusi.

Namun, Beheshti memilih berundur dari dicalonkan setelah Khomeini, sebagai Rahbar ketika itu kelihatan cenderung untuk meletakkan Presiden dari kalangan bukan ulama’. Ekoran itu, Parti Republik Islam telah mencadangkan nama Jalaleddin Farsi. Walau bagaimanapun, akibat dari hal yang tidak dijangka, nama Abolhassan Banisadr pula diusulkan kemudian.

Lebih mengejutkan lagi, Khomeini kemudiannya telah mengarahkan pembatalan pendaftaran Parti Republik Islam yang dipimpinnya itu, berserta parti-parti lain. Tindakan Khomeini ini dikatakan bertujuan untuk mengelakkan dampak yang ditimbulkan oleh fahaman hizbiyyah dari kewujudan parti-parti politik, termasuklah dari Parti Republik Islam sendiri.

Malangnya, belum sempat bakat kepimpinan Beheshti memuncak, akhirnya Beheshti syahid bersama-sama 72 orang yang lain ekoran suatu serangan bom pada Jun 1981. Ini berlaku sewaktunya sedang menghadiri persidangan anjuran parti. Menurut satu sumber rasmi, serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran, atau terkenal juga dengan panggilan Sazman-i Munafiqin-i Khalq-i Iran oleh para pendukung revolusi.

Setelah revolusi, Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran diketahui umum yang telah banyak melancarkan operasi pembunuhan terhadap para pemimpin dari kalangan Parti Republik Islam. Antara yang terkorban dalam serangan yang dilakukan secara berasingan ialah Javad Bahonar dan Ali Rajai yang merupakan Presiden dan Perdana Menteri Republik Islam Iran. Malah, teman baik dan guru Beheshti sekaligus Ketua Majlis Perlembagaan Republik, Murtadha Muthahhari turut terkorban.

Namun, menariknya dalam satu teori konspirasi popular ada menyatakan bahawa serangan tersebut merupakan rancangan Rafsanjani sendiri, yang di dapati telah meninggalkan persidangan tersebut lebih awal. Ironinya, teori konspirasi yang sama juga pernah menimpa Beheshti sebelum itu yang dianggap berperanan terhadap kematian tiba-tiba Mahmoud Taleghani, seorang ulama’ progesif yang dekat dengan mahasiswa.

Walau apapun susur teori konspirasi ini, syahidnya Beheshti hakikatnya telah meninggalkan sebuah nama harum yang sememangnya amat sukar dicari ganti. Malah, betapa Khomeini sendiri pernah mengangkat sumbangan Beheshti sebagai mewakili sebuah negara. Dan, di dataran Beheshti-Zahra akhirnya menjadi saksi bersemadinya jasad yang penuh berbakti ini.

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani: Merintis refomasi Islam

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani (1838/9–1897) merupakan antara tokoh awal yang mengungkapkan kembali tradisi Muslim dengan pendekatan yang dinamik. Seruannya ini tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada reaksinya terhadap konflik-konflik yang muncul ekoran sikap Barat di Timur-Tengah pada abad ke-19.

Sebagai reformis Islam pertama, yang pengaruhnya dirasakan di beberapa negara, Afghani memicu kecenderungan untuk menolak kedua-dua beban ummat, sama ada tradisionalisme dan pembaratan. Meskipun Afghani di kemudian hari, serta semenjak meninggalnya, ia telah dikaitkan khususnya dengan gerakan Pan-Islamisme. Namun, tulisan pan-Islamismenya hanya timbul belakangan, iaitu sekitar 1880-an.

Dalam hidupnya, Afghani mempromosikan berbagai sudut pandang yang sering dianggap bertentangan. Dan, fikirannya juga memiliki affinity dengan berbagai kecenderungan yang terdapat di dalam dunia Muslim. Ini meliputi liberalisme Islam yang diserukan, khususnya oleh Muhammad’Abduh, orang Mesir yang menjadi muridnya.

Pada masa mudanya Afghani dididik di Iran, dan juga di kota-kota suci lain di Iraq sehingga Afghani berjaya menguasai falsafah Islam dan juga perbandingan mazhab yang sarat terdapat dalam pengalaman Islam.

Tidak seperti dunia Arab dan Turki, di mana kebanyakan falsafah (yang mendapat inspirasinya dari Yunani selama berabad-abad) tidak diajarkan secara langsung kerana dianggap menyimpang dari Islam. Sebaliknya, di Iran tradisi falsafah terus berlangsung. Manakala, buku-buku karya Ibn Sina dan di kemudian hari karya failasuf Iran banyak diajarkan di sekolah keagamaan.

Ketika ke Istanbul, pada tahun 1869-70, Afghani mengemukakan banyak gagasan yang berasal dari anjuran failasuf Islam. Malah, ketika ke Mesir pada 1870-an, Afghani mengajar anak-anak muda di sana tentang fikiran-dikiran failasuf dalam dunia muslim.

Perjalanan yang panjang dalam hidup Afghani telah dilalui dengan berdakwah di banyak negara. Pada usia yang masih muda, sekitar 20 tahun, Afghani sudah pergi ke India dan berjuang untuk mengusir pemerintahan Inggeris dari bumi Muslim di India. Setelah tinggal di India, Afghani pergi menunaikan fardu haji ke Makkah, lalu ke kota-kota di Iraq, dan kemudiannya ke Afghanistan melewati Iran.

Perjuangannya yang anti-Inggeris ini menyebabkan Afghani harus keluar dari Afghanistan pada Disember 1868, kerana jatuhnya A’zham Khan dan naik takhtanya Shir’Ali yang pro-Inggeris. Kemudian, Afghani ke Bombay, Kaherah, lalu ke Istanbul pada 1869.

Pada 1870, Afghani diangkat menjadi menjadi anggota Dewan Pendidikan Uthmaniyyah. Kerana popularitinya sebagai ahli pendidikan yang terkemuka, Afghani diundang untuk menyampaikan kuliah umum. Namun, kuliah umum ini akhirnya telah menimbulkan reaksi yang keras dari para ulama’, kerana dianggap menyimpang dari ajaran agama. Akibatnya Afghani diusir dari Istanbul.

Setelah itu Afghani pergi ke Kaherah. Di Kaherah ini, Afghani mendirikan akhbar yang membahas isu-isu politik -- seiring dengan perubahan kekuasaan di Mesir, yang ketika itu di bawah Pemerintahan yang pro-Inggeris, Taufiq. Afghani akhirnya diusir dari Mesir kerana sikapnya yang anti-Inggeris tersebut.

Kemudian Afghani pergi ke Hyderabad di India Selatan. Dari India, Afghani ke London, dan kemudian pada 1883 ke Paris. Di Paris, Afghani bersama dengan Muhammad ‘Abduh, mereka menerbitkan akhbar berbahasa Arab, Al-‘Urwah Al-Wuthqa. Sebelum meninggal pada tahun 1987 di Iran, Afghani sempat berkunjung ke Russia, Eropah dan Iraq.

Afghani merupakan tokoh besar dalam dunia Muslim. Afghani begitu menekankan bahawa Islam dalam faham yang benar, merupakan satu kekuatan yang sangat signifikan untuk menangkis serangan-serangan Barat, dan sekaligus berupaya untuk meningkatkan kembali solidariti kaum Muslim.

Seruannya jelas menuntut perubahan dalam sistem politik Islam. Di samping itu, Afghani mengkritik kepada mereka yang memihak terhadap imperialisme Barat atau apa sahaja yang boleh memecah-belah umat Islam. Ini semuanya antara tema-tema yang diperjuangkannya sepanjang hidupnya.

Dilahirkan pada Januari 1934 di kota Yazd, Iran dari kalangan keluarga religius. Di kota kelahirannya ini, pada tahun 1947, Ayatollah Muhammad Taqi Mishbah Yazdi telah menamatkan pendidikan asasnya dalam ilmu-ilmu Islam. Ekoran meraih keputusan yang cemerlang, Mishbah Yazdi telah berjaya memasuki Hawzah di Yazd serta menamatkan pendidikannya dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Shaykh Muhammad Ali Nahawi.


Namun, untuk lebih arif dalam bidang ilmu-ilmu Islam ini, Mishbah Yazdi mengambil keputusan berangkat ke Najaf al-Ashraf, di Iraq. Selama setahun di Najaf, Mishbah Yazdi kemudiannya telah dihimpit dengan faktor kewangan yang terbatas. Ekoran daripada kesulitan ini, Mishbah Yazdi akhirnya memilih untuk kembali semula ke Iran sambil meneruskan pengajian formalnya di Qum al-Muqadassah.

Dari tahun 1952-1960, di Qum ini, Mishbah Yazdi dengan penuh tekun telah mengikuti kuliah-kuliah fiqh yang dianjurkan oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, dan dalam selang waktu yang sama turut menghadiri kuliah tafsir dan falsafah, kuliah Al-Syifa’ (dari karya Ibn Sina) dan kuliah Al-Asfar (dari karya Mullah Shadra) yang dianjurkan pula oleh Allamah Thaba’thaba’e.

Di samping itu juga, Mishbah Yazdi selama hampir lima belas tahun turut menuntut dengan Ayatollah Bahjat dan Ayatollah Ansari. Sungguhpun begitu, pembelajaran berkesan dengan Ruhollah Khomeini berakhir dengan pengusiran ikon hawzah tersebut dari Qum. Selama Ruhollah Khomeni di dalam tempoh pengusiran di Najaf al-Asyraf, Mishbah Yazdi menekuni pula ilmu-ilmu dalam bidang sosial Islam, jihad, perundangan serta permerintahan Islam.

Sekitar tahun 1964, Mishbah Yazdi berkerja sama erat dengan Ayatollah Shahid Husayn Baheshti, Syahid Javad Bahonar serta Hujjatul Islam Hashemi Rafsanjani untuk melakukan gerakan kebangkitan rakyat bagi menentang rejim Shah Pahlevi. Dalam kesibukan aktiviti sosial ini, Mishbah Yazdi masih lagi sempat menulis dua karya iaitu Bi’tsat (Misi Kenabian) dan Intiqam (Tindak Pembalasan), yang terbitkannya sendiri.

Selama mengajar di Qum, Mishbah Yazdi bersama-sama dengan kalangan ulama’-ulama yang lain telah bersatu mendirikan organisasi politik ulama’ Qum, yang diketuai oleh Ayatollah Rabbani Syirazi. Organisasi ini turut dianggotai oleh Ayatollah Ali Khamenei, Hashemi Rafsanjani dan Syahid Ali Quddusi. Namun, aktiviti organisasi ini akhirnya disekat oleh rejim Shah Pahlavi menerusi badan kerahsiaan Savaknya.

Keadaan ini telah mengugat kestabilan di Hawzah-hawzah hingga memaksa ramai pimpinan organisasi ini menyembunyikan diri, termasuklah Mishbah Yazdi sendiri. Dan, setelah keadaan politik mula tenang, Mishbah Yazdi kembali semula ke Qum dan meneruskan aktivitia-aktiviti keilmuannya seperti biasa, di samping merangka kerjasama dengan sekolah Muntaziriyyah.

Kemudian, iaitu bermula pada tahun 1975, Mishbah Yazdi mula membangunkan Institut Dar Rah e-Haqq bersama-sama dengan Ayatollah Jannati, Husayn Baheshti dan Ali Quddusi. Selama kira-kira sepuluh tahun terlibat dalam institut ini, Mishbah Yazdi berpeluang menyampaikan ilmu-ilmu falsafah serta melakukan kajian tematik terhadap Al-Qur’an.

Tika yang sama, atas dorongan serta dukungan kuat Ruhollah Khomeini, Mishbah Yazdi secara serius mula terlibat dalam mendirikan sejumlah Institut-institut pendidikan yang lain. Dan, di antara institut yang utama yang didirikan ialah Yayasan Baqir al-‘Ulum dan Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni.

Kemudian, setelah kemenangan revolusi Islam, iaitu selepas 1979, Mishbah Yazdi banyak meluangkan waktu dengan mengajar di hawzah-hawzah di Qum sambil cuba mencari pendekatan bagi merapatkan hubungan antara Hawzah dan universiti.

Dan kini, Mishbah Yazdi merupakan ahli Majelis-e Khubregan (Dewan Ulama' Revolusi) semenjak 1996 dengan mewakili wilayah Khuzestan, sambil memimpin Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni. Kerana sumbangannya dalam bidang pemikiran dan falsafah, beliau dewasa ini telah dijuluki sebagai Muthahhari II, suatu nama sempena mengenang pemikiran luar biasa Ayatollah Syahid Murtadha Muthahhari.

Di dalam banyak karyanya, terdapat beberapa karyanya yang tersohor sepertiChikideh-ye Bahts-e Falsafi (Ringkasan Perbahasan Falsafah), Pasdari Az Sangarha-ye Iydi’uluzhik (Pengawal Benteng Idealogi), Iydi’uluzhi-e Tathbiqi (Perbandingan Idealogi),Durus Falsafah (Pelajaran Falsafah), Ma’arif Al-Qur’an (Ajaran-ajaran Al-Qur’an),Hukumat-e Islami va Vilayat-e Faqih (Pemerintahan Islam dan Kepimpinan Faqih) danSyarh-e Asfar al-Arba’ah (Syarah atas Empat Perjalanan).

Dalam satu bukunya lagi Amuzesh-e Falsafeh (Pengatar Falsafah), Mishbah Yazdi cuba untuk menonjolkan kekuatan rasionaliti dalam kehidupan beragama sembari mengajak umat kembali menghayati khazanah Al-Qur’an dari sisi-sisi yang jarang disentuh oleh ilmuan-ilmuan Islam yang lain. Malah, Mishbah Yazdi dengan nada falsafah, turut menekankan konsep tawhid dari perspektif yang sangat indah sekali.

Tidak hairanlah, lantaran kelebihan yang terhimpun dalam pemikirannya ini, maka Ayatollah Ali Khamenei dengan jujur menyatakan, “salah satu cara untuk memperdalamkan pegetahuan kita tentang Al-Qur'an adalah dengan mengkaji tulisan-tulisan Murtadha Muthahhari serta kearifan cendekiawan semasa seperti Muhammad Taqi Mishbah Yazdi, yang mana mereka ini sangat-sangat memahami asas intelektual Islam."

Allama Thaba’thaba’e: Ulama’ failasuf

Dalam lembaran sejarah, terdapat tokoh-tokoh yang mempunyai sumbangan dan peranan di sepanjang hidup mereka dengan memperjuangkan makna sebuah kebenaran. Mereka memiliki keistimewaan luar biasa hasil daripada pancaran petunjuk Ilahi kepada wajah-wajah murni mereka. Di sini, Allah swt telah mengurniakan ilmu pengetahuan, hikmah dan makrifah kepada mereka ini serta menyempurnakan tanda-tanda kekuasaan Allah swt ke atas diri mereka.

Maka, dengan itu, kedudukan mereka yang agung itu selaras pula dengan tingkah laku serta akhlak mereka yang membuktikan nilai-nilai kebenaran dan keikhlasan. Maka dengan itu, kemuliaan tokoh-tokoh seperti ini sentiasa berkekalan dengan ikatan serta pemikiran yang membawa kepada sumbangan dan perananya yang mulia dan agung di tengah-tengah masyarakat.

Ulama’ failasuf besar, Allama Thaba’thaba’e jika disorot dalam perspektif ini, telah berada di bawah naungan qudrah Allah swt di mananya telah berkelana di dalam ilmu pengetahuan Allah swt. Pencarian ilmu yang dirintis oleh Allama Thaba’thaba’e ini sungguh mendalam dan mengagumkan kita.

Semenjak asyik dengan ilmu, Allama Thaba’thaba’e sentiasa menyeru kepada kehidupan Islam yang sejati serta mencapai tahap aktiviti pengajian dan penghasilan karya-karya yang Islami. Kesemua keringat dan penat lelahnya itu adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt serta berjuang di atas garis untuk mencapai kasih sayang para Anbiya’ Allah dan wali-waliNya. Inilah apa yang dinyatakan dari semua karya yang dinukilkannya.

Allama Thaba’thaba’e telah diputerakan pada tahun 1231 Hijriyyah di kota Tabriz, Iran dan di sanalah juga beliau mendapat didikan awalnya. Ketika usianya menjangkau 23 tahun, Allama Thaba’thaba’e berhijrah ke Najaf al-Asyraf untuk menimba ilmu pengetahuan. Di Bandar yang agung dan suci itu, Allama Thaba’thaba’e telah meraih satu tahap ilmu pengetahuan yang mendalam dan menakjubkan.

Di sini, Allama Thaba’thaba’e telah memberi tumpuan yang serius semasa pengajiannya terhadap ilmu-ilmu yang berhubung dengan hikmah, usul, tafsir dan feqah. Allama Thaba’thaba’e nekad tidak akan meninggalkan Bandar Amirul Mukminin Ali Abi Thalib itu sehinggalahnya mencapai tahap seorang Faqih.

Setelah itu, Allama Thaba’thaba’e kembali ke Bandar Qum sebagai seorang ulama’ pendidik. Di sana, Allama Thaba’thaba’e berjaya menghimpunkan beratus-ratus penuntut ilmu-ilmu Islam daripada seluruh pelusuk bumi Iran yang datang untuk mendapat tarbiyyah dan pemikiran daripadanya. Dalam waktu yang singkat sahaja, Allama Thaba’thaba’e telah menjaid terkenal sebagai seorang ulama yang agung.

Walaupun dalam waktu yang singkat itu, Allama Thaba’thaba’e telah membuktikan daya intelektualnya dan kretivitinya dalam bidang yang diceburinya itu. Hal ini dapatlah kita semak daripada betapa kukuhnya buah pemikiran yang dihidangkannya kepada kita, d mananya menukilkan kepada kita sebesar-besar tafsir Al-Qur’an al-Karim di abad ini, yang dinamakannya sebagai Al-Mizan. Kitab tafsir yang agung ini mempunyai 20 buah jilid yang dihasilkannya dengan memakan masa 20 tahun yang berturut-turut.

Al-Mizan memiliki keluasan ilmu pengetahuan Islam yang dipancarkan dari kebenaran Al-Qur’an yang sudah tentu untuk menghasilkannya memerlukan kepada khazanah ilmu dan keupayaan yang mendalam dan agung. Malah, As-Syahid Ayatollah Murtadha Muthahari menyatakan bahawa Al-Mizan merupakan sebaik-baik kitab tafsir yang dapat diketahui oleh sejarah Islam dewasa ini. Aspek-aspek yang mendalam yang terangkum dalam Al-Mizan tidak terdapat dalam tulisan dan karya yang lain.

Suatu perkara yang agak luar biasa bagi seorang ulama’ sepertinya yang terkenal dengan kepakaran dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan ialah komitmen tenaganya yang sungguh-sungguh di dalam pengajian falsafah dengan menghasilkan pelbagai karya yang menyentuh mengenai bidang ini.

Begitu juga, Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja menghasilkan karya-karya yang mengolah mengenai bidang sosial dan politik, tetapi lebih jauh daripada itu, Allama Thaba’thaba’e melalui landasan pengolahan dan pentafsiran yang lebig luas dari maksud itu. Umpamanya, beliau telah menulis Al-Hukumah fi al-Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Hujjatul Islam Asy-Syeikh Muhammad Mahdi Al-Ashfi.

Dengan sumbangan besar ini, Allama Thaba’thaba’e meninggalkan kesan yang ketara dan berpengaruh di kalangan ummat Islam, di dalam mendorong kesedaran politik yang dicorak oleh agama, terutamanya di kalangan mahasiswa universiti di ketika beliau di Iraq. Dari titik tolak sumbangan beliau ini, ia telah memberi kesan positif dan berterusan kepada para pengikut dan penuntutnya yang telah berusaha mengikuti jejak langkahnya yang benar itu.

Di samping itu, para ilmuan dan cendikiawan pun turut terpengaruh dengan aliran pemikirannya. Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja terkenal sebagai perintis yang membuka lembarna pemikiran Islam, tetapi Allama Thaba’thaba’e juga dikenali di kalangan golongan bukan Islam yang mengambil berat tentang ilmu-ilmu keIslaman.

Sebagai contohnhya, Henry Corbin, seorang orientalis yang dekat dengan tradisi Persia, telah memetik sebahagian daripada pandangannya yang berhubung dengan sejarah dan falsafah Islam. Karya-karya Allama Thaba’thaba’e juga pernah tersiar di dalam majalah-majalah dan buku-buku yang tersohor.

Selain daripada itu, keistimewaan ulama’ faqih ini juga dapat di lihat dari perspektif betapa tingginya nilai ketaqwaannya dan pergaulannya. Malah, Muthahhari yang pernah terdidik di bawah asuhannya pernah berkata, “aku menuntut dengannya selama sepuluh tahun, dan aku tidak mendapatinya melakukan walau suatu perkara pun yang makruh di sisi hukum syariat.

Jadi, perbahasan akhlak yang dikemukakan dengan banyaknya oleh Allama Thaba’thaba’e di dalam tafsir Al-Mizan itu akan sempurna termanifestasi dalam pelaksanaan akhlaknya yang amali. Semua orang yang pernah membaca pemikirannya yang menekankan aspek akhlak serta mengenali akhlaknya nescaya mereka kan mendapati jalan hidup yang dilaluinya selari dengan apa yang ditulisnya.

Realitnya, apa yang ditekankan oleh Allama Thaba’thaba’e terjelma pula secara nyata berhubung dengan hakikat ini. Sepertimana yang dimaklumi, Allama Thaba’thaba’e merupakan jaluran akhlak dari bapanya yang mendidik serta mendorongnya untuk bergelumang dengan ilmu pengetahuan Islam.

Keistimewaan sang faqih ini, yang dengan jiwanya yang lembut dan mulia itu, dapat disaksikan dengan pelbagai tauladan di sepanjang garisan kehidupannya. Ini termasuklah tangisannya yang mengharukan apabila menerima khabar kesyahidan penuntutnya, yang sekaligus di anggap sebagai sahabatnya, Muthahhari, di tangan golangan munafiqin khalq.

Selain itu, Allama Thaba’thaba’e turut memberi penentangan yang terus-menerus terhadap regim Shah dan beliau sendiri berdepan dengan serangan Savak di Madrasah Faiziyyah, Qum yang menyebabkan gugur syahidnya penuntut-penuntutnya yang mulia. Peristiwa ini telah mencetuskan titik yang sungguh luhur di dalam sejarah hidupnya dan mensyahdukan mereka yang terlibat dengan kegiatan ilmu pengetahuan.

Demikian juga pendirian failasuf Islam yang agung ini terhadap kebangkitan Islam yang diterajui oleh Al-Imam Ruhollah Al-Khomeini. Pendiriannya dapat diperhatikan secara konsisten semenjak 20 tahun lagi sebelum kemuncak kebangkitan tersebut pada tahun1979. Allama Thaba’thaba’e telah mendukung perjuangan Ruhollah Khomeni ini berdasarkan kepada dalil revolusioner serta kesungguhannya untuk mendaulatkan agama dan syariat.

Selanjutnya, Thaba’thaba’e berkesempatan dalam hayatnya untuk sama-sama menyalurkan sumbangan yang signifikan ke arah tertegaknya Republik Islam di Iran. Akhirnya, kita juga harus akui bahawa pemimpin revolusi Islam, Ruhollah Khomeini sendiri turut terdidik, terasuh dan terbina di bawah naungan insan yang agung ini, dengan izin Allah swt.

Dan, setelah sempat menikmati kemenangan Revolusi Islam, pada tanggal 15 November 1981, ulama’ failasuf yang zuhud ini telah kembali menyahut penggilan Ilahi ketika berusia 80 tahun. Moga-moga, segala jasa baktinya bukan sahaja diberkati oleh Penciptanya, malah ia dapat manfaati oleh ummat manusia setelahnya.

Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi di lahirkan pada tahun 1947 di desa Yabna, sebuah kampung dalam daerah Asqalan, Israel. Beliau di percayai berasal dari kalangan keluarga besar yang melata antara Damsyik, Amman, dan Semenanjung Gaza. Manakala, minat Rantisi pada dunia politik sebenarnya sangat di dorong oleh penderitaan yang dialaminya semenjak kanak-kanak lagi.

Daripada suasana keperitan sebeginilah yang mencorak keperibadiannya yang sangat tegas dan sukar untuk berkompromi terhadap sebarang kezaliman. Beliau juga terkenal sebagai orator yang mampu memukau puluhan ribu pendengar. Di samping itu, beliau sering kali menjadi khatib shalat Jumaat di masjid-masjid sekitar Semenanjung Gaza.

Alumni Fakulti Perubatan Universiti Alexandria, Mesir, tahun 1971 ini telah mencebur diri dalam perjuangan secara serius semasa beliau menuntut lagi. Ketika di universiti beliau telah mula berhubungan dengan tokoh-tokoh Islam Mesir seperti Sheikh Mahallawi, Sheikh Mahmoud Ied, Ustaz Isa Abduh, dan Ustaz Adil Ied.

Kerana kekagumannya terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, pada tahun 1972, sekembalinya dari Alexandria, Rantisi terus bergiat sebagai doktor di bandar Khan Yunis. Di khabarkan pada satu peristiwa, beliau telah mengumpulkan para doktor Palestin sambil mengancam untuk melakukan aksi mogok sebagai tanda protes di atas perlakuan tidak adil oleh penjajah Israel yang ketika itu mengendalikan urusan kesihatan di wilayah Palestin. Susulan daripada tindakan tersebut, penjajah Israel lantas meluluskan tuntutan kumpulan Rantisi yang mendesak agar sebahagian para doktor Palestin di benarkan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.

Satu perkara yang kurang diketahui ramai ialah peristiwa yang berlaku semasa beliau di tahan dalam penjara oleh penjajah Israel. Pada ketika itu, beliau terkurung di sel tahanan Negev di samping beliau telah ditempatkan di dalam sel tahanan yang terasing selama tiga bulan. Dan, pada kesempatan tersebut telah di gunakan sebaik-baiknya oleh Rantisi untuk menghafal al-Quran.

Setelah di bebaskan dari tahanan tersebut, Rantisi telah mengkoordinasikan para doktor Palestin untuk kembali melancarkan mogok pada tahun 1981, yang akhirnya menyebabkan tercetusnya pergerakan penentangan terhadap penjajah Israel. Lalu, ekoran daripada insiden tersebut, beliau telah dikenakan tahanan dalam rumah serta dilarang melakukan tugas-tugasnya sebagai seorang doktor di kliniknya sendiri.

Lantaran kekangan yang tidak bertamadun tersebut, Rantisi membuat keputusan untuk menjual kliniknya pada tahun 1983 dan kembali berkerja dengan salah sebuah Hospital di Palestin. Sebaliknya pada 1985, Israel yang sekian lama tidak senang dengan aktiviti dan pengaruh beliau, telah memecat Rantisi dari tempat kerja tersebut. Semenjak dari itu, Rantisi bekerja sebagai tenaga akademik di Universiti Islam di Gaza City serta turut menjadi khatib tetap yang begitu popular di Masjid Rahmah, Semenanjung Gaza.

Akhirnya, pada 9 November 1987, setelah menimbang segala kemungkinan, Rantisi bersama-sama As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin telah mengasaskan Hamas. Bersamaan dengan itu juga bumi Palestin telah bergoncang dengan ledakan intifada pertama yang berakhir pada tahun 1993 susulan daripada perjanjian damai Oslo antara Israel dan PLO.

Bermula daripada detik inilah, Rantisi seringkali menjadi jurubicara rakyat Palestin dalam mempertahankan hak-hak rakyat Palestin dari mangsa kekejaman Israel. Karismatik peimpinannya, memang jelas tidak di senangi oleh Israel. Apatah lagi beliau cukup berwibawa bilamana berdepan dengan segala macam media massa yang di ketahui amat gemar dengan kemampuan bahasa Inggeris. Manakala, ketika tercetusnya intifadha kedua pada tahun 2001, Rantisi juga telah memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang pejuang yang di geruni oleh penjajah Israel selepas Syeikh Ahmad Yasin dan Khaleed Mashaal.

Setelah pemergian pemimpin spiritual HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin sebelan yang lalu, Rantisi telah secara konsesus telah di lantik untuk memimpin HAMAS di semananjung Gaza. Namun, Israel jelas tidak senang dengan pendirian "garis keras” yang dianuti oleh Rantisi. Dan, sebelum sempat beliau mencatur strategi perjuangan pasca kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin, beliau juga turut menyusuli jejak langkah bekas pemimpinnya itu.

Namun, sebelum beliau pergi, sempat beliau memberi amaran kepada penjajah Israel, “Saya ingin katakan kepada anda agar anda sentiasa bertenang, seandainya Rantisi, Az Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Sayyam, dan semuanya pergi gugur syahid, demi Allah kami akan bertambah gemilang dan semakin mencintai jalan ini. Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia Insyallah, ruh-ruh kita akan berpelukan di sisi Allah. Kerananya, silakan Ariel Sharon dan kaum konspirator memetik harapannya di sini, tetapi kami akan tetap meneruskan perjuangan ini. Jalan kami memang sukar. Namun, inilah satu-satunya jalan yang membawa kami kepada cita-cita kami.”

Sesungguhnya, pada 17 April 2004, Rantisi telahpun memenuhi cita-citanya. Rantisi telah mengisi hidupnya dengan penuh makna, lalu pergi pula dengan meninggalkan pesan-pesan kemanusiaan. Mudah-mudahan nama Abdul Aziz Al-Rantisi terus kekal dalam lipatan sejarah kaum mustadh'afin.

Budaya agama kita tentunya tidak akan membawa kita mendekatinya. Dilahirkan pada 24 September 1902, dalam sebuah keluarga yang ketat dengan tradisi agama, dan di sebuah di daerah kecil, Khomein, iaitu ditengah-tengah Iran. Ketika berusia lima bulan, ayahnya Sayyid Mustaffa Musawi gugur syahid menentang kaum kapitalis yang rakus mengaut tanah rakyat miskin. Justeru, pengalaman sewaktu kecilnya sudah awal-awal lagi sangat akrab dengan makna kesyahidan dan pembelaan mustadh'afin.

Sejak usia dini, beliau menekuni pengajian agama termasuk matematik, astronomi dan falsafah sehingga bekal ini menjadikannya kelak seorang faqih dan mujtahid yang mashyur. Di tangan Mirza Mohammad Ali Shah Abadi, beliau terpana dengan mikraj irfanserta asyik dengan isra’ hamasah. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah membuka kelas pengajiannya yang meliputi falsafah Islam, tasawuf nazari, feqah, usul dan akhlak.

Ketegasannya menyanggah kezaliman sosial, menentang korupsi ideologi dan memulih kebejatan moral sudah terpancar semenjak awal belianya lagi. Sementara, pada tahun 1941, beliau menerbitkan buku pertamanya Kasyful Asrar yang menyenaraikan kezaliman 20 tahun pemerintah waktu itu, Reza Shah. Kitab tersebut telah menghimpun kritikan kaum kaum ulama yang belot dan ahli sufi yang pinggirkan perubahan sosial, selain mengungkapkan kriteria dan pembinaan pemerintahan Islam.

Dalam rangkaian surat serta ceramahnya, beliau menyeru para ulama agar memperkasa kesedaran rakyat serta segera bangkit melawan pemerintahan Shah. Selain itu, beliau secara konsisten membongkar tentang hubungan intim pemerintah dengan Israel, lalu mengirim amaran keras kepada pemerintah waktu itu. Sebagai jawapan, Shah menyerbu pusat pendidikan Faiziyah dan membunuh para pendukungnya. Sudahnya, yakni bermula dari peristiwa khordad tersebut, amarah rakyat terhadap kerajaan semakin membara, lebih-lebih lagi beliau telah ditangkap oleh pemerintah.

Menghadapi situasi yang penuh gawat itu, pemerintah akhirnya memutuskan untuk menghalau keluar dari tanahairnya. Bertitik-tolak dari sini, maka bermulalah episod pelariannya dari satu negara ke satu negara. Selama 11 bulan di Turki, 13 tahun di Iraq, dan beberapa bulan di Neauphle-le-Chateau, Paris, seluruh liku-liku perlariannya diisi dengan menulis kitab serta menjalinkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam sedunia, termasuklah di Iraq, Lebanon dan Palestin. Seruan akbarnya ketika itu ialah bangkit melawan para mustakbirin.

Dalam waktu yang sama, kebangkitan rakyat Iran sendiri tidak pernah sunyi. Kaset-kaset ucapan beliau terus tersebar ke dhamir rakyat. Manakala, episod perjuangan rakyat telah merebak dan makin membengkak setiap hari. Demikian, bila setiap rakyat yang dibunuh oleh regim, pasti diganti oleh puluhan pemuda yang bersedia untuk menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Darah syuhada mula membanjiri segenap ingatan pemerintah dan mengusarkan Shah. Akibatnya, keadaan ssudah menjadi tidak terkawal, yang akhirnya ini memaksa Shah melarikan diri pada Januari 1979.

Bertolak dari Perancis, sebuah penerbangan tiba di Mehrabad Airport Teheran pada Februari 1979, yang bersama-sama dengan penerbangan tersebut bukan sahaja membawa seorang ulama yang sudah tua, bahkan cita-cita sebuah negara sempurna. Beliau disambut oleh jutaan rakyat yang menyayanginya. Di dataran luas, Beheshti Zahra, iaitu sebuah kuburan para syuhada, beliau mengungkapkan pidato ulungnya yang mengecam campurtangan Amerika, Israel dan sekutu Barat ekoran perkembangan terbaru negara Sassanid tersebut. Setelah 10 hari, revolusi Islam ini mengorak sebuah sistem.

Dan, selama 10 tahun terkemudian, beliau mengisi negara baru ini dengan segala doktrin-doktrin Islam. Buat julung kalinya tafsiran politik Islam telah menemukan wajahnya dalam bentuk praktikal. Kejayaan dramatik gerakan beliau telah menjadi inspirasi buat gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Dunia, menerusi majalah Time, mengiktiraf beliau sebagai Man of the year. Di samping itu, bersama rakyatnya, beliau memimpin utuh mempertahankan batas negara ekoran pencerobohan Iraq.

Manakala, dalam waktu yang sama, beliau tetap tegas mempertahankan sumber minyak negaranya daripada direbut oleh Barat, serta teguh hati menghadapi sekatan ekonomi dunia. Malah, dengan pedih juga beliau beliau pasrah ketika lebih 400 rakyatnya dibunuh oleh tentera Saudi sewaktu mengerjakan ibadah Haji, juga ketika menerima berita 290 rakyatnya terkorban dalam pesawat penumpang ditembak oleh tentera Amerika.

Namun, dalam segala kepayahan ini, beliau tetap tekun meneruskan ajaran dari leluhur sucinya. Beliau tetap tabah untuk terus memerintah dengan agama. Dan, pada 1 Januari 1989, beliau mengirim pesan besar kepada Mikhail Gorbachev. Suatu pesan yang bakal menghumbankan idea komunisme menjadi muzium sejarah. Malah, beliau tidak segan-segan mengajak pemimpin Soviet Union tersebut untuk menerima Islam sambil menolak materialisme Barat.

Demikian juga, tanpa mempedulikan ancaman Barat, serta dengan penuh keyakinan, beliau tekad dan nekad memfatwakan hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie atas penerbitan buku Satanic Versesnya -- suatu fatwa yang sangat-sangat revolusioner, dan sekaligus fatwa yang membangkitkan kembali semangat ummah melawan penindasan Barat, setelah sekian lama kekosongan ikon sejagat.

Namun, hari demi hari, keadaan fizikalnya semakin melelahkannya. Kelelahannya ini akhirnya memburuk. Sudahnya, setelah 10 hari diam di hospital Teheran, akhirnya beliau aman menemui zat yang dirindu-rinduinya pada malam hari, 3 Jun 1989. Serentak dengan itu, langit ummah mendung bagaikan kehilangan sebutir bintang thurayya. Hadirnya dirasai, dan perginya ditangisi.

Maka, salam atas anda, yang telah mengisi hidup ummah dengan makna-makna baru, lalu meninggalkan pula ummah dengan segenap pesan-pesan kemanusiaan. Maka, mudah-mudahan nama anda, Ruhollah, akan terus kekal dalam catatan dan ingatan sejarah masa depan ummah; ummah yang masih ada percaya kepada tradisi dan masih menyimpan keyakinan kepada iman. Ya, salam atas anda, pemelihara ingatan agama, Ruhollah Khomeini al-Musawi!

As-Syahid Murtadha Muthahhari adalah antara kalangan sedikit ulama’ yang berjaya memadukan ciri-ciri keulamaan dan keintelektualan dalam satu keperibadian, di mana beliau bukan sekadar mendalami ilmu-ilmu Islam tradisional, malah turut fasih berbicara tentang mazhab-mazhab pemikiran Barat, lebih-lebih lagi tentang Bertrand Russell.

Memang, ini satu kelebihan yang mengagumkan! Tidak ramai tokoh yang boleh berjuang, tetapi dalam masa yang sama mampu menekuni pelbagai displin ilmu, dan Muthahhari adalah salah seorang darinya. Dan, hampir sebahagian besar waktu hidupnya dihabiskan demi merealisasikan sebuah negara yang bercitrakan Islam.

Muthahhari, dilahirkan pada tanggal 2 Februari 1919 dari kelompok keluarga alim di daerah Khurassan. Ayahnya, Hujjatul Islam Muhammad Husayn Muthahhari adalah seorang ulama’ yang dihormati lagi disegani oleh masyarakat setempat. Sejak menjadi siswa di Qum, Muthahhari sudah menunjukkan minatnya pada falsafah dan ilmu pengetahuan moden. Di Qum, Muthahhari menuntut di bawah bimbingan Ayatullah Boroujerdi dan Ayatullah Ruhollah Khomeini.

Dalam falsafah, beliau amat terpengaruh dengan pemikiran Allamah Hussayn Thabathaba’i. Muthahhari begitu tekun dan pantas menguasai ilmu-ilmu falsafah yang diajar di hauzah-hauzah. Buku-Buku yang ditulis oleh William Durant, Sigmund Freud, Bertrand Russell, Albert Einstein, Erich Fromm dan para pemikir Barat yang lainnya telah ditelaahnya dengan serius sekali.

Keseriusan Muthahhari dalam menelaah pemikiran Barat bukan kerananya malu-malu untuk menonjolkan pemikiran Islam, sebaliknya, Muthahhari cuba untuk melakukan studi perbandingan antara pemikiran Islam dan Barat. Lihat, banyak terminologi Islam telah dikupas olehnya dalam buku-bukunya, sehingga menyerlahkan lagi keupayaan Islam bagi menawarkan pemikiran alternatif.

Muthahhari, pada usia relatif yang masih muda, sudah mampu menurunkan ilmu logik, falsafah dan fiqh di Fakulti Teologi, Universiti Teheran. Dan, dalam waktu yang sama, beliau turut menjawat sebagai Ketua Jurusan Falsafah. Di samping itu, beliau tidak kekok untuk menyampaikan kuliah dalam bidang yang berbeza seperti kuliah al-Ushul, kuliah Ilmu Kalam dan kuliah al-Irfan.

Dengan ufuk ilmu ini, Muthahhari langsung tidak berminat untuk memilih keselesaan hidup, meskipun beliau ada pilihan untuk itu. Baginya, badai (perjuangan) lebih bermakna daripada damai (keselesaan hidup). Justeru, beliau menterjemahkan gagasan-gagasannya tentang erti kehidupan melalui gerak kerja aktivis dan menulis buku-buku.

Natijahnya, keaktifan beliau telah berjaya membentuk satu kombinasi ampuh bersama-sama dengan Ruhollah Khomeini dalam kerangka menentang regim Shah Pahlevi yang zalim dan menindas. Ekoran dari itu, Muthahhari telah ditahan pada 1963 akibat implikasi langsung dari peristiwa Khordad.

Manakala, ketika Imam Khomeini diasingkan ke Turki, Muthahhari telah di amanahkan untuk memangku kepimpinan gerakan rakyat Iran serta memobilisasikan para ulama’ dalam melanjutkan semangat perjuangan Islam yang dirintis oleh Ruhollah Khomeini.

Langkah-langkah politiknya jelas sekali sangat tersusun dan mengugat. Muthahhari (bersama-sama Ali Shari'ati dan Husayn Baheshti) turut mendirikan Husainiyyah-e-Irsyad yang menjadi pangkalan kebangkitan intelektual Islam sebelum revolusi meletus. Di samping itu, Muthahhari yang juga Imam Masjid al-Jawad, dan secara konsisten menggalang dukungan rakyat Iran bagi menyuarakan simpati pada perjuangan Palestin.

Pasca kemenangan Revolusi Iran 1979, Muthahhari telah dilantik menjadi anggota Dewan Revolusi. Karekteristik yang menonjol pada diri Muthahhari telah menjadinya sebagai seorang ulama yang dinamik, bersandarkan penguasaan ilmu-ilmu Islam, moden serta menatijahkannya dalam dunia aktivisme.

Akhirnya pada 2 Mei 1979, Muthahhari dipanggil pulang dengan percikan darah sebagai seorang syuhada, angkara tangan-tangan ghaib kelompok ‘Munafiqqin Khalq’. Hari ini, tanpa Muthahhari sekalipun, ilmu-ilmunya masih tetap memancar mengukuhkan lagi khazanah keilmuan Islam. Muthahhari, terima kasih atas bakti anda!

Kalangan personaliti revolusi Islam Iran, Ali Shari'ati merupakan satu nama yang mewakili kelompok intelektual sebaris dengan Mehdi Bazargan. Di satu kelompok lagi, di kalangan agamawan, terdapat nama-nama lain seperti Murtadha Muthahhari, Husayn Beheshti dan Mahmoud Taleqani. Namun, yang paling nyata, Shari'ati kerap disebut-sebut sebagai antara arkitek politik yang paling signifikan dalam memprakasai revolusi Islam Iran berbanding dengan nama-nama yang lain, selain daripada Ruhollah Khomeini.

Ali Shari'ati, merupakan anak pertama Muhammad Taqi Shariati dan Zahraa yang lahir pada 24 November 1933 di sebuah desa permai berdekatan Sabzavar di tepi gurun Kavir. Peribadi yang pertama kali mendidiknya tentunya ayahnya sendiri, salah seorang ulama' yang dihormati di Mashhad. Di waktu kanak-kanak, ketika teman-temannya asyik bermain, aktiviti harian Ali Shari'ati pula hanyalah bersama buku-buku sastera seperti Les Miserablekarya Victor Hugo. Minat Shari’ati ini bertambah bila dibantu dengan khutub khanah yang dipunyai oleh ayahnya.

Pada 1955, Ali Shari’ati telah diterima masuk ke Fakulti Sastera Universiti Mashhad. Di sinilah bermula penyerlahannya dalam perjuangan politik, sosial dan intelektualnya. Tahun-tahun yang menyusul dalam kehidupan Shari'ati telah ditandai dengan tumbangnya Perdana Menteri Musaddiq angkara tekanan politik regim Shah Iran. Ali Shari’ati sendiri terpaksa mendekam selama beberapa bulan dalam penjara kesan daripada penetangannya terhadap tindakan regim Shah Iran ini.

Pada tahun 1959, Shari'ati melanjutkan pendidikannya ke Sorbonne dalam bidang sosiologi. Walaupun jauh daripada tanahairnya, Shari'ati tetap prihatin terhadap gerakan politik di Iran. Secara aktif, Shari'ati telah bergabung dalam organisasi yang akrab dengan misi untuk melawan regim Shah Iran. Pada tahun 1964, sepulangnya ke Iran, Shari'ati telah ditahan. Enam bulan berlalu, ekoran tekanan antarabangsa ke atas regim Shah Iran, Shari'ati akhirnya dibebaskan dan kembali meneruskan kegiatannya sebagai ahli akademik sosiologi di Universiti Mashhad.

Keadaan ini tidak lama. Lantaran tekanan pemerintah, melalui universiti, Shari'ati terpaksa meninggalkan kampus tersebut. Maka, bermulalah episod paling signifikan dalam kehidupannya. Shariati bersama-sama dengan beberapa teman telah mendirikan Husainiyyah-e Irsyad, sebuah institut Islam di Kota Teheran. Institut ini berperanan menganjurkan aktiviti intelektual, yang sebahagian besar disertai oleh kumpulan mahasiswa.

Namun, apabila regim Shah Iran melihat aktiviti Shari'ati ini boleh mengancam pemerintah, maka Husainiyyah-e Irsyad telah ditutup. Manakala, Shari'ati di tahan dan kembali meringkuk dalam penjara sebagai tahanan politik. Setelah 18 bulan, Shari'ati dibebaskan. Pada 16 Mei 1977, Shari'ati memilih untuk meninggalkan Iran, lalu menuju ke London,sebelum disusuli pula oleh isteri dan anaknya, Ehsan.

Malangnya, tidak berapa lama kemudian, iaitu pada 19 Jun 1977, Shari'ati ditemui terbujur di kediamannya. Sebab kematiannya menjadi cukup misteri, sehingga banyak pihak yang mengaitkannya dengan kegiatan SAVAK, badan polis rahsia Iran ketika itu. Seperti wasiatnya, Shari'ati dimakamkan di Damsyik, besebelahan dengan makam Zaynab Rahimahullah, cucu Rasulullah saw.

Demikianlah perjalanan seorang intelektual yang begitu mengesankan. Terbukti, Shari'ati telah gugur kerana memperjuangkan maslahat kaum mustadh’afin. Malah, kata-katanya bahawa syahid itu jantung kemanusiaan, akhirnya benar-benar tercermin melalui bentuk kematiannya, seperti juga bentuk kematian tokoh yang dicanang-canangkannya, Ali bin Abi Talib dan Abu Dzar Al-Ghifari.

sumber : iluminator.blog.com

Wednesday, July 29, 2009

DARI MINDA JUTAWAN UNTUK PEMIKIR AGUNG..

Salam ajahare,
Cuba anda perhatikan kajian statistik yang dikeluarkanoleh U.S. Department Of Health, Education & Welfare.(Hampir sama dengan Malaysia)
Pada umur 65 tahun:- 1 jadi jutawan- 4 hidup senang- 5 masih bekerja sebab terpaksa- 54 hidup dengan bantuan keluarga & kebajikan- 36 matiAdus....
Tahukah anda apa yang menyebabkan hanya 1 daripada100 orang yang benar-benar mampu mencapai kekayaan?
Ianya bergantung kepada MINDA seorang dan disinisaya jelaskan perbezaan antara minda orang kaya danorang susah:
#1: Orang kaya percaya "Saya yang mencorakkan hidup saya" Orang susah percaya "Semuanya sudah nasib"
#2: Orang kaya berbisnes untuk menang. Orang susah berbisnes supaya tak rugi.
#3: Orang kaya komited untuk jadi kaya. Orang susah hanya nak kaya.
#4: Orang kaya berfikiran luas & jauh. Orang susah berfikiran sempit.
#5: Orang kaya lebih tumpukan kepada peluang. Orang susah lebih tumpukan kepada halangan.
#6: Orang kaya kagum dan mencontohi orang yang berjaya & kaya. Orang susah benci dan dengki kepada orang berjaya & kaya.
#7: Orang kaya berkawan dengan orang positif & berjaya. Orang susah berkawan dengan orang negatif & gagal.
#8: Orang kaya berfikiran positif tentang jualan & bisnes. Orang susah berfikiran negatif tentang jualan & bisnes.
#9: Orang kaya lebih kuat daripada masalah. Orang susah lemah dan lembik dengan masalah.
#10: Orang kaya bersedia belajar perkara baru. Orang susah menganggap semuanya sudah tahu.
#11: Orang kaya memilih dibayar melalui hasil. Orang susah memilih dibayar melalui masa.
#12: Orang kaya buatkan duit berkerja kuat untuknya. Orang susah kerja kuat untuk cari duit.
#13: orang kaya bertindak walaupun takut. Orang susah biarkan ketakutan untuk tidak bertindak.
#14: Orang kaya pandai uruskan kewangan. Orang susah tidak tahu cara uruskan kewangan.
Wow.. banyaknya nak ingat! Ya, saya sendiri masih belajar dan akan terus belajar untuk mencapai taraf minda jutawan,saya berharap anda juga berfikiran terbuka untuk buat perkara yang sama dan cuba fahamkan 14 konsep minda jutawan.
Ingat, "think rich to get rich!"Demi Kejayaan Anda,Mohd Nizam