nufnang

Thursday, December 3, 2009

Sumber : Dari berita harian online


Johor: Jcorp ditempelak gagal bantu kerajaan negeri

Laporan Johan Afandi
johan@bharian.com.my

Syarikat tak sedar tanggungjawab bantu rakyat Johor

KOTA ISKANDAR: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) semalam, menempelak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor, Johor Corporation (Jcorp) yang gagal membantu kerajaan negeri dalam membantu membangunkan semula negeri dan rakyat negeri ini.

Rasman Ithnain (BN-Sedili) dalam ucapan perbahasan sempena Bajet negeri 2010 dalam Sidang Dewan Negeri Johor, berkata kerajaan negeri sudah memberikan pelbagai bantuan dan jaminan kepada Jcorp hingga mencapai kedudukannya seperti yang dinikmati pada masa kini.


Bagaimanapun, katanya JCorp tidak sedar akan tanggungjawab sosial untuk membantu rakyat dan negeri Johor sesuai matlamat penubuhannya dan tidak hanya menggunakan keuntungan syarikat sebagai Indeks Petunjuk Prestasinya (KPI).

"Semua tahu rakyat Johor tidak merasa apa-apa mahupun rasa bangga ketika makan di Kentucky Fried Chicken (KFC), Pizza Hut atau Ayamas walaupun mereka tahu ia dimiliki Jcorp.

"Apa sumbangan Jcorp yang memiliki rangkaian pusat perubatan swasta terbesar negara, Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) kepada rakyat Johor miskin yang ingin mendapatkan rawatan di hospital ini?

"Salahkah, memulangkan semula jasa dan pemberian rakyat serta kerajaan negeri selama ini dengan memberikan diskaun istimewa kepada rakyat Johor yang miskin bagi mendapatkan rawatan pakar di hospital KPJ," katanya.

Beliau berkata, sebelum Jcorp dikorporatkan, kerajaan negeri memberi beribu hektar tanah di Johor kepada syarikat berkenaan dengan tujuan supaya pulangannya akan dapat membantu rakyat.

Katanya, apa yang dilaungkan pengurusan syarikat iaitu 'Bisnes Jihad' tidak mencapai sasarannya kerana bisnes jihad sebenar adalah apabila Jcorp meletakkan tanggungjawab sosialnya untuk membantu dan meringankan beban rakyat dan negeri Johor seimbang dengan matlamat untuk membawa keuntungan kepada syarikat.

"Saya ingin menarik perhatian sidang Dewan Negeri kepada masalah pekerja ladang Jcorp di Kompleks Pasir Panjang di Tunjuk Laut, Sedili, Kota Tinggi yang mana pekerja ini tergolong dalam kumpulan miskin dan miskin tegar.

"Dapatkah Jcorp menafikan bahawa gaji pekerja ladang mereka di Kompleks Pasir Panjang adalah tergolong dalam kategori miskin tegar, memang benar mereka mendapat perumahan melalui program Bakti Ladang tetapi pekerja dihalang menambah, membesar atau mengubahsuai rumah mereka?," katanya.

Beliau berkata, kawasan perumahan ladang berkenaan berada dalam keadaan menyedihkan dan terabai, malah tanah perkuburan pun tidak disediakan hingga menyusahkan pekerja.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan negeri meminta Jcorp menyelesaikan segera hutang tertunggak sebanyak RM66juta kepada kerajaan negeri dengan segera.

"Kalau boleh Jcorp dapat membayar separuh daripada jumlah hutang berkenaan tahun depan, sekali gus menjadikan Bajet 2010, lebih mantap dan seterusnya, menyuntik semula ekonomi negeri untuk berkembang keluar daripada zon penguncupan.

"Justeru, saya amat bersetuju dengan langkah kerajaan negeri untuk meningkatkan sumbangan GLC sebagai satu kaedah untuk mengurangkan kos operasi kerajaan negeri," katanya.